Monday, February 2, 2015

Hubungan Mata (Eye Contact)

Entri 13
Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar:  Google

Pepatah Melayu ada berbunyi begini,  'dari mata turun ke hati'.  Pepatah Inggeris pula mengatakan 'the eyes are the windows of the soul'.  Di sini jelas menunjukkan kepentingan pandangan mata yang merupakan satu peralatan komunikasi di mana ia akan menghantar pelbagai isyarat non-verbal.

Sekali lagi saya ingin berkongsi pengalaman saya ketika bekerja di UTMSPACE.  Sebagai seorang pengurus, saya perlu berurusan dengan pelbagai pihak, sama ada staf bawahan mahupun di peringkat pengurusan.  Sesekali saya juga perlu berurusan dengan orang luar seperti pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia atau pihak pembekal.

Saya dapati, perbincangan akan lebih mudah dan telus serta mudah mencapai kata putus apabila kita membuat hubungan mata dengan orang yang dilawan bercakap. Apabila kita melihat tepat ke mata seseorang, itu menyampaikan mesej bahawa kita berminat dalam perbincangan itu dan juga menandakan bahawa kita menghormatinya.  Ia juga menggambarkan rasa yakin dalam diri. Sebaliknya, jika kita melarikan pandangan mata daripadanya, ia menggambarkan seolah-olah kita tidak ikhlas dalam mengutarakan pendapat kita.  Ia juga menggambarkan maksud berbohong, tidak selesa dan perasaan bersalah.

Begitu juga apabila kita berkomunikasi dengan anak-anak.  Pakar kanak-kanak sering mengingatkan ibu bapa supaya memandang tepat ke mata anak ketika bercakap dengannya.  Ini menunjukkan anda serius apabila menggariskan apa-apa peraturan kepadanya, ataupun menunjukkan yang anda jujur dan ikhlas apabila menyatakan anda sangat sayang kepadanya.  Malah, ibu bapa juga diminta untuk merendahkan diri mereka secara fizikal supaya kedudukan mata mereka adalah setara dengan kedudukan mata anak apabila berbicara.

Teknik hubungan mata ini juga sering diguna pakai oleh pihak polis dan pegawai penyiasat apabila menyoal siasat penjenayah atau orang yang disyaki. 


0 comments:

Post a Comment