Sunday, February 1, 2015

Resepi Ayam Masak Kicap Gaya Ummi

Entri 12
Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar:  Koleksi peribadi


Assalamualaikum,

Anak bongsu saya, Hannah sangat gemar makan lauk ini.  Sekiranya saya masak lauk ini, dia memang sudah tidak akan pandang makanan lain.  Cara memasaknya agak mudah dan mengambil masa tidak sampai 20 minit.  Cubalah ya.

Bahan-bahan:
1/2 ekor ayam dipotong kecil
Kunyit serbuk
Garam
Minyak masak
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
5 cm halia
* bawang merah, bawang putih dan halia dimayang
Rempah penumis (bunga lawang, cengkih, kulit kayu manis dan buah pelaga)
2 batang serai (dipotong dan diketuk)
Kicap masin
Sos cili
Sos tomato
Serbuk kari
Lobak merah (dipotong bulat)
Batang saderi (dipotong serong)
Air
3 biji lada merah (dibelah 2 memanjang)

Cara-caranya:
1.  Gaul rata serbuk kunyit dan garam pada ayam.
2.  Panaskan sedikit sahaja minyak masak.  Masukkan ayam dan gaul rata.  Tutupkan kuali dan kecilkan api. Sesekali buka penutup dan gaul rata lagi.
3.  Apabila ayam sudah separuh masak, masukkan bahan yang telah dimayang, rempah penumis dan serai.  Besarkan sedikit api dan gaul rata sehingga naik bau.
4.  Masukkan kicap masin, sos cili, sos tomato, serbuk kari (kuantiti mengikut sesedap rasa).  Gaul rata dan kemudian masukkan sedikit air.
5.  Biarkan seketika hingga sedikit mendidih.
6.  Masukkan lobak merah dan batang saderi.  Gaul dan biarkan sehingga empuk.  Tambah sedikit air sekiranya kuah menjadi terlalu pekat.
7.  Masukkan lada merah.  Gaul sebentar selama 1 minit sahaja.  Siap dan hidangkan bersama nasi panas.

Yummy!

0 comments:

Post a Comment