Friday, January 30, 2015

Sayang Neksu Dah Setahun

Entri 10
Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar:  Koleksi peribadi


Assalamualaikum,

Saya merupakan anak bongsu daripada dua orang adik beradik.  Jarak umur antara saya dengan abang agak jauh, iaitu 9 tahun.  Abang pula berkahwin awal, iaitu ketika dia berusia 22 tahun.  Setahun kemudian, mereka dianugerahkan anak sulong iaitu seorang puteri.  Maka, jarak antara saya dan  anak saudara sulung saya cuma 13 tahun.  Ini menjadikan kami sangat rapat, seolah-olah seperti hubungan adik dan kakak lagaknya.  Lebih-lebih lagi apabila iras wajahnya saling tidak tumpah seperti saya.  Oleh kerana rapatnya ikatan kami, kebanyakan urusan majlis pertunangan dan perkahwinannya telah saya uruskan.

Apabila dia melahirkan anak sulongnya tahun lepas, saya adalah antara insan yang paling gembira.  Manakan tidak, dalam usia 39 tahun, saya sudah bergelar Neksu.  Sepanjang tempoh berpantang, sayalah yang telah menjaga makan pakai mereka berdua.  Daripada menyediakan air mandi ibu dan anak, memandikan bayi, memakaikan bengkung sehinggalah menyediakan makanan ketika dalam pantang.  Terasa pantas sungguh masa berlalu.  Kini, pada 30 Januari 2015, Muhammad Aryan Saifullah telah pun genap berusia satu tahun.  Sudah mempunyai gigi yang agak banyak, dan mulutnya sudah agak bising (macam ibunya!)  Walaupun agak lambat progresnya kerana masih belum boleh berjalan tegap, tapi tak mengapa.  Setiap bayi ada fasa membesarnya yang tersendiri.  Sebagai seorang ibu dan bapa, hargailah setiap detik perkembangan si anak.  Kalau boleh seperti mahu dirakamkan di kotak minda sebagaimana seperti rakaman video.

Si comel Neksu, jangan cepat sangat besar ok.  Neksu rindu dan sayang kamu wahai Aryan Saifullah!

0 comments:

Post a Comment