Friday, January 16, 2015

Pengenalan Diri

Entri 1
Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim

Assalamualaikum  warahmatullahi wabarakatuh.

Apa khabar? Selamat berkenalan.  Nama saya Rahiza Haszian binti Abdul Rahim.  Ya, saya tahu. Nama itu memang agak panjang.  Menurut aruah ayah dan ibu saya, nama tersebut adalah gabungan daripada nama-nama mereka iaitu Rahiza daripada 'Rahim' dan Haszian daripada 'Hasmah'.  Pada tahun 2015 ini, genap empat puluh (40) tahun saya diberikan peluang untuk menghela nafas di bumi Allah ini. Alhamdulillah, syukur di atas segala limpahan nikmat yang dikurniakan olehNya. 

Saya telah dilahirkan di Kampung Melayu, Kluang, Johor.  Berketurunan Jawa daripada sebelah ayah dan Minangkabau daripada  sebelah ibu, saya merupakan anak bongsu daripada dua (2) orang adik beradik. Satu-satunya abang yang saya ada di dunia ini berusia lebih tua sembilan (9) tahun daripada saya. Kedua-dua ayah dan ibu adalah merupakan bekas guru.

Saya telah menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Tunku Mahmood (2), Kluang, Johor. Seterusnya pendidikan menengah telah diteruskan di Sekolah Menengah (P) Temenggong Ibrahim, Batu Pahat, Johor dan Sekolah Menengah (P) Sultan Ibrahim, Johor Bahru, Johor.   Tamat persekolahan, saya telah melanjutkan  pelajaran di Universiti Teknologi Malaysia dalam jurusan Integrasi Sains Komputer.  Setelah tiga (3) tahun, saya telah dianugerahkan Diploma Sains Komputer dan seterusnya diserapkan ke program Sarjana Muda Sains Komputer dalam pengkhususan Sistem Maklumat Pengurusan. Saya akhirnya berjaya menggengam segulung ijazah pada penghujung tahun 1999.

Pada tahun 2000, bermulalah episod baru dalam hidup saya.  Saya telah memulakan kerjaya saya di Malaysia Matsushita Electronics Corporation (MMEC), Shah Alam sebagai Jurutera Sistem.  Pada tahun yang sama juga, saya telah dijabkabulkan dengan seorang jejaka, anak jati Darul Naim yang telah berjaya mencuri hati saya.  Setelah setahun di MMEC, saya ditawarkan pula oleh Arab Malaysian Merchant Bank (AMMB) sebagai seorang Pengaturcara Analisis.  Namun, pada tahun 2002, suami telah mendapat tawaran pekerjaan di Johor Bahru.  Setelah berbincang, kami mengambil keputusan untuk menerima tawaran tersebut.  Maka, seperti sirih pulang ke gagang, saya telah kembali ke negeri kelahiran saya.   Alhamdulillah, pada tahun itu juga, saya hamil anak pertama.  

Oleh kerana kehamilan tersebut, saya telah menangguhkan hasrat untuk mencari pekerjaan baru.  Ayah mencadangkan agar saya membantunya untuk membuat kerja-kerja reka bentuk grafik dari rumah sahaja.  Kebetulan, ayah memang memiliki sebuah syarikat penerbitan secara kecil-kecilan.  Walaupun saya langsung tidak mempunyai pengalaman dan kemahiran dalam bidang grafik, kerana pengkhususan saya ialah dalam pembinaan sistem maklumat, namun tawaran ayah itu saya terima.  Akhirnya saya sendiri rasa seronok bekerja dari rumah dan sedikit demi sedikit, saya semakin mahir mengendalikan urusan reka bentuk dan perisian grafik. Hasrat untuk mencari pekerjaan yang bersesuaian setelah melahirkan akhirnya hilang begitu sahaja.

Pada tahun 2004, kami sekeluarga telah dikejutkan dengan pemergian ayah secara tiba-tiba.  Secara serta-merta, urusan syarikat terletak di bahu saya kerana abang sudah ada perniagaannya sendiri dan tidak berkesempatan untuk mengambil alih syarikat ayah.  Perkara pertama yang saya lakukan ialah dengan melihat semula operasi dan status kewangan syarikat.  Saya telah mengambil keputusan untuk menghentikan staf dan operasi di kedai.  Saya tidak yakin akan mampu menggaji staf kerana langsung tidak berpengalaman.  Saya tidak mahu mengambil risiko kerana beberapa orang di antara mereka ialah staf lelaki yang perlu menyara keluarga masing-masing.  Dengan berat hati, saya meminta mereka untuk mencuba rezeki di tempat lain.  Alhamdulillah, mereka memahami permintaan saya.

Secara berdikit-dikit saya meneruskan usaha ayah dari rumah secara berseorangan.  Segala-galanya saya lakukan sendiri.  Daripada keluar bertemu pelanggan, kerja-kerja reka bentuk, berurusan dengan pencetak, sehinggalah penghantaran produk yang telah siap. Pelbagai selok belok perniagaan saya redahi. Bermacam pengalaman diperolehi dan pelbagai kemahiran turut dipelajari.  Ketika itu, konsep SoHo adalah sangat baru.  Tidak ramai yang mengetahui ataupun menyokong cara pekerjaan sebegitu.  Berkat sokongan suami, saya berjaya menguruskan perniagaan dengan baik sehingga beberapa kali terlibat dengan penghasilan buku bertaraf kebangsaan hasil kerjasama dengan beberapa agensi kerajaan.  Dalam pada itu, saya juga perlu membahagikan perhatian kepada suami, anak-anak dan terutamanya ibu saya yang telah mengalami tekanan perasaan dan kemurungan yang sangat hebat apabila ayah pergi secara tiba-tiba.

Pada tahun 2008, saya dan anak-anak telah mengikut suami ke Amerika Syarikat atas urusan pekerjaan.  Kami berada di sana selama hampir setengah tahun.  Sekembalinya kami, saya telah berurusan kembali dengan jabatan kerajaan untuk menuntut pembayaran kerja.  Alangkah kecewanya saya, setelah setengah tahun berlalu pembayaran masih belum boleh dibuat.  Sebenarnya inilah masalah utama yang saya hadapi apabila berurusan dengan agensi kerajaan.  Apabila kerja sedang dilakukan, mereka meminta kita untuk segera menyiapkan kerja.  Walaupun tanpa menerima L.O, kerja tetap diteruskan mengenangkan hubungan baik perniagaan yang telah lama terjalin.  Tetapi apabila meminta pembayaran, pelbagai alasan akan diberikan.

Awal tahun 2009, seorang yang rapat hubungan kekeluargaannya dengan saya telah menawarkan saya peluang pekerjaan.  Dek kerana rasa kecewa dan penat dengan urusan perniagaan, saya mengambil keputusan untuk menerima tawaran tersebut.  Lalu bermula sebuah lagi episod baru dalam hidup saya, iaitu menjawat jawatan Pegawai di Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan, Universiti Teknologi Malaysia (UTMSPACE).  Pada tahun itu juga anak sulung saya telah memulakan persekolahannya di Darjah Satu manakala anak yang kedua baru berusia tiga (3) tahun.

Saya telah dinaikan pangkat beberapa kali. Akhirnya pada penghujung tahun 2014, tepat 5 tahun 7 bulan, saya telah meletakkan jawatan akhir saya sebagai Pengurus di Unit Penyelidikan, Penerbitan dan Perhubungan Pelanggan.  Ramai yang bertanya saya, tidakkah merasa rugi atau terkilan meletakkan jawatan tersebut? Jawapan saya, tidak sama sekali. Mari saya ceritakan kenapa.

Tahun 2014 merupakan tahun yang sangat beerti buat saya. Pelbagai peristiwa yang tidak disangka telah berlaku.  Dugaan yang sangat hebat saya terima apabila anak sulung yang hendak mengambil UPSR pada tahun itu tiba-tiba berubah laku.  Daripada seorang anak yang periang dan ceria, tiba-tiba dia menjadi pemarah dan pendendam.  Puas saya memikirkan dan menyiasat sebabnya.  Akhirnya saya perlu mengakui, puncanya banyak datangnya daripada saya.  Dek kerana terlalu sibuk dan stres bekerja, saya secara tidak sengaja sering melepaskan kemarahan saya kepada dia. Saya terlupa yang dia kini bukan lagi anak-anak kecil.  Dia sudah ada pemikiran dan kemahuannya yang tersendiri.  Tambahan pula keluarga kami masih tinggal dengan ibu yang sangat terkenal dengan sikap tegas dan disiplinnya, dan saya pula seringkali bekerja luar, lalu terjadi konflik dalaman pada diri anak saya.  Alhamdulillah, saya bersyukur di atas teguran yang Allah berikan ini.  Walaupun sukar, tanpa jemu saya memohon dan sujud kepada Allah untuk membantu saya memikat kembali sang anak.  Syukur ke hadrat Allah, saya belajar untuk meletakkan keutamaan kepada perasaan anak-anak dan suami lebih daripada segala-galanya.  Akhirnya sang anak menyatakan hasrat agar saya sendiri yang menguruskan segala keperluannya dan si adik.  Mereka rindukan kehadiran Ummi yang sentiasa di sisi mereka.  Permintaan anak meluluhkan hati saya.  Terasa betapa berdosa dan culasnya saya selama ini.  Mana mungkin saya menolak permintaan mereka sedangkan mereka dan suami adalah segala-galanya bagi saya.

Tanpa berfikir panjang, saya telah menulis surat perletakan jawatan.  Setelah sebulan notis, saya kembali menjadi suri rumah tangga sepenuh masa.  Memang benar, walaupun sibuk dan penat tidak terkata, saya merasa sangat puas kerana dapat meluangkan lebih banyak masa dengan anak-anak.  Saat yang paling saya nantikan ialah apabila berada di dalam kereta menghantar dan mengambil mereka di sekolah. Mendengar celoteh mereka yang tidak henti-henti sangat membahagiakan saya.  Alhamdulillah..syukur Ya Allah.

Di waktu senggang, saya amat gemar membaca.  Memang itulah hobi utama saya sedari kecil.  Kebanyakan bacaan saya ialah novel Bahasa Inggeris. Genre pilihan saya ialah jenayah benar (true-crime). Penulis yang sangat saya minati ialah Ann Rule sehingga pada permulaan saya menyertai Facebook, saya telah mewujudkan 'Ann Rule Fan Club' dan sehingga kini mempunyai lebih daripada 4000 ahli dari serata dunia.  Melalui FB juga saya telah dapat berinteraksi secara langsung dengan penulis yang telah saya minati semenjak saya di Tingkatan 5 itu.  Semenjak tahun 2013 pula, saya mula membaca karya penulis Ramlee Awang Murshid.  Beliau ialah satu-satunya penulis tempatan yang saya minati.  Cara penulisannya yang kreatif dan bersahaja adalah sangat menarik. 

Oleh kerana minat membaca, secara tidak langsung saya turut minat menulis. Sedari sekolah, rencana tulisan saya telah disiarkan di majalah sekolah. Perniagaan saya sebagai pereka bentuk grafik dan penyusun atur huruf juga menyebabkan saya terlibat secara langsung sebagai penyunting.  Walaupun itu tidak termasuk dalam skop perniagaan, tetapi saya merasa puas sekiranya buku yang saya hasilkan bebas daripada kesalahan ejaan dan bahasa.  Ketika berada di UTMSPACE pula, bidang penulisan dan suntingan adalah memang di bawah tanggungjawab saya di mana saya perlu menulis dan memantau artikel serta bahan bacaan lain yang melibatkan organisasi untuk siaran di akhbar dan majalah.

Berbalik kepada cerita kerjaya, selama sebulan notis berhenti, saya telah mencari-cari alternatif ataupun sumber untuk bekerja dari rumah.  Walaupun pernah melakukannya sebelum ini, tetapi setelah hampir enam (6) tahun makan gaji, saya jadi agak goyah dan kurang yakin.  Dengan kuasa Allah, saya tidak tahu bagaimana dan bila, tiba-tiba seorang bernama Masayu Ahmad telah 'Add Friend' saya di FB. Saya pun tidak pasti bagaimana beliau menemui profil saya memandangkan profil saya adalah bersifat 'private'.  Melalui FBnya saya mendapat tahu tentang Akademi Bekerja Di Rumah.  Sedikit demi sedikit, saya mengumpul maklumat tentang ABDR.  Saya juga telah terserempak dengan profil Anys Idayu Zakaria di FB Masayu.  Saya memberanikan diri untuk menyapa Anys dan bertanyakan tentang ABDR.  Lama juga masa yang saya ambil untuk menimbang tara sebelum menyertai ABDR.  Bukannya apa, saya khuatir sekiranya tidak dapat memberikan komitmen.  Setelah faham tentang konsep ABDR dan atas keizinan dan sokongan suami, saya telah menyertai keluarga besar ABDR di bawah cikgu Anys. 

Matlamat saya menyertai ABDR ini adalah mudah.  Saya memerlukan sokongan dan tunjuk ajar bagaimana untuk meraih pendapatan secara online.  Sebagaimana wanita lain, saya juga perlu memenuhi beberapa komitmen kewangan.  Oleh kerana keutamaan saya ketika ini ialah anak-anak, sukar untuk saya menjalankan perniagaan seperti dahulu.  Masa saya yang sentiasa dipenuhi dengan aktiviti bersama mereka tidak memungkinkan saya untuk aktif dengan syarikat seperti dahulu.  Saya perlu mencari alternatif lain di mana saya boleh menjana pendapatan walaupun saya tidak keluar untuk bertemu pelanggan.  Dengan jaringan luas dan bilangan ahli yang ramai, saya kira ABDR adalah pilihan yang amat tepat. Saya sangat berharap untuk dapat memperolehi pengetahuan dan perkongsian pengalaman melalui ABDR.

Rasanya coretan pertama saya ini agak panjang.  Saya berterima kasih kepada Puan Masayu Ahmad dan Puan Anys Idayu Zakaria atas perkongsian pengetahuan yang sangat bermanfaat.  Saya berharap akan terus melangkah ke hadapan.  Yang paling utama, saya berharap dengan keputusan saya untuk berhenti bekerja di pejabat dan meluangkan lebih masa dengan anak-anak akan dapat membentuk mereka menjadi hamba Allah yang taat dan berperibadi tinggi.  Saya tidak boleh mengubah perkara yang telah berlaku, namun saya berharap masih belum terlambat untuk saya mencipta kenangan dan 'moment' indah bersama anak-anak dan keluarga. Insya Allah...

0 comments:

Post a Comment