Friday, January 30, 2015

Resepi Mee Sup Ekspres Yang Sempoi

Entri 9
Teks: Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar: Koleksi peribadi


Setiap pagi, otak ligat memikirkan apakah sarapan yang sesuai disediakan untuk santapan seisi keluarga.  Memandangkan hari ini hari Jumaat (negeri Johor bercuti), kedua-dua anak tidak bersekolah.  Jadi, bolehlah menyediakan menu yang berat sedikit. Lihat-lihat peti sejuk, memerhati apa bahan yang ada.  Timbul idea untuk menyediakan mee ekspres sempoi yang sangat digemari aruah ayah dahulu.  Dia sering menyediakannya apabila saya demam.  Dimakan begitu sahaja bersama sos, atau boleh juga dijadikan lauk dengan nasi.  Pelik? Tapi memang sedap.  Cubalah.

Bahan-bahannya adalah:
500gm mee kuning
3 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
5 cm halia
* bawang merah, bawang putih dan halia dimayang halus
sedikit daging ayam (dibuang tulang, ambil isi sahaja dan digaul dengan sedikit garam)
sedikit sotong atau udang (sekiranya suka)
sedikit sayur sawi (dipotong kasar)
2 biji telur ayam
Lada merah & lada hijau (dihiris sebagai hiasan)
Kiub ayam
Garam
Minyak
Air

Cara-caranya:
1.  Cuci mee kuning di bawah aliran air dan toskan (untuk buang rasa kapur).  Boleh juga gunakan spaghetti jika suka.
2.  Panaskan sedikit minyak.  Tumiskan bahan-bahan yang telah dimayang.
3.  Setelah naik bau, masukkan daging ayam dan sotong/udang dan kacau rata.
4.  Setelah air ayam dan air sotong/udang keluarkan sedikit, tambahkan air sebanyak mana kuah yang dikehendaki.
5.  Masukkan sayur sawi, kiub ayam dan biarkan kuah mendidih.
6.  Setelah mendidih, pecahkan telur ayam.  Biarkan sebentar menggunakan api besar. Perisakan dengan garam sekiranya perlu.
7.  Tuangkan di atas mee kuning yang telah diletakkan di dalam pinggan.  Hidangkan.

* Lebih enak dimakan bersama sos cili.

Selamat mencuba!

0 comments:

Post a Comment