Showing posts with label resepi mudah. Show all posts
Showing posts with label resepi mudah. Show all posts

Tuesday, October 6, 2015

Resepi Brownies Mudah dan Sedap

ENTRI 29

Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar:  Koleksi peribadi



Sudah beberapa kali saya terlihat rakan-rakan memuatnaik gambar pelbagai jenis brownies di laman Facebook dan Instagram.  Ada yang pergi belajar membuatnya dan ada juga yang berniaga.  Saya sendiri teringin nak membuat sendiri brownies.  Pernah sekali saya mencuba, tetapi hasilnya tidak seberapa.  Mungkin kerana saiz loyang yang terlalu besar menjadikan brownies saya tidak 'naik'.

Namun saya tidak berputus asa.  Kali ini, saya mencuba resepi baru yang diberi oleh rakan baik saya dari Kota Bharu.  Resepinya sangat mudah, dan bahan-bahannya semua mudah didapati.  Lebih menyenangkan lagi, saya tidak perlu menggunakan pengadun elektrik untuk membancuh bahan.  Cukup dengan menggaul menggunakan spatula.

Mari kita semak resepinya.

Fuss Free Brownies

1 cawan mentega atau minyak sayuran
2 cawan gula perang
1/2 cawan serbuk koko
1 sudu teh esen vanila
4 biji telur sederhana besar
1 cawan tepug gandum
1/2 sudu teh serbuk penaik
1/2 sudu teh garam
1/2 cawan badam yang dihiris

Cara-caranya:
1.  Cairkan mentega dan sejukkan ke suhu bilik.  Boleh juga digantikan dengan minyak sayuran (saya gunakan jenama Naturel)
2)  Campurkan mentega/minyak tersebut dengan kesemua bahan di atas.  Gaul rata sehingga nampak berkilat dan terdapat buih-buih kecil (bubbles)
3)  Sapukan mentega di atas loyang bersaiz 9X9.
4)  Masukkan bancuhan tadi.
5)  Bakar di dalam oven selama 25 minit pada suhu 180C

Enak dihidang untuk minuman petang bersama secawan teh panas.

Selamat mencuba!

Resepi Bihun Singapore

ENTRI 28


Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar:   Koleksi peribadi



Beberapa hari yang lepas, saya tiba-tiba teringin untuk menyediakan Bihun Singapore untuk sarapan.  Saya pun kurang pasti kenapa ia diberikan nama Bihun Singapore.  Sebenarnya ia cumalah bihun goreng, tetapi berwarna putih (tidak menggunakan cili langsung untuk menumis).  Menu ini adalah sangat ringkas tetapi amat sedap rasanya.  Mari kita lihat resepinya.

Bahan-bahan:
1 paket bihun (rendam sehingga lembut dan toskan airnya)
Beberapa sotong dipotong kecil
Beberapa udang dibuang kulitnya
Beberapa keping dada ayam dipotong kecil (boleh digantikan dengan daging)
1/2 batang lobak merah dipotong kecil
Sedikit kobis dipotong kecil
Sedikit air
Minyak masak
Garam secukup rasa

Bahan tumis (perlu ditumbuk semuanya):
Bawang putih
Lada putih
Udang kering (disangai terlebih dahulu)

Bahan hiasan:
Telur dadar dipotong panjang
Lada merah (dibuang biji dan mayang halus)
Daun ketumbar (dipotong kecil)

Cara-caranya:
1.  Panaskan minyak.  Setelah itu, tumiskan bahan-bahan yang telah ditumbuk.  Gaul rata hingga naik bau wanginya.
2.  Masukkan sotong, udang dan ayam/daging.  Kacau sehingga lembut.
3.  Masukkan kobis dan lobak merah.  Kacau sebati.
4.  Masukkan air dan biarkan sehingga sedikit mendidih.  Kacau sebati.
5.  Masukkan bihun dan kacau rata-rata.  Kacau sehingga bihun kelihatan lembut.
6.  Perasakan dengan garam.
7.  Siap untuk dihidang.  Taburkan bahan hiasan di atasnya.

Menu ini amat sesuai dihidangkan kepada anak-anak kecil yang tidak gemarkan makanan pedas.

Selamat mencuba!

Tuesday, February 10, 2015

Resepi Ikan Siakap Kukus Chef Wan

ENTRI 20

Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar:  Koleksi peribadi


Haaa...adakah anda rasa tergoda melihat gambar ini?  Percayalah, ia resepi yang amat mudah dan menghasilkan rasa yang sangat sedap.  Resepi ini adalah satu lagi resepi dalam buku 400 Resepi Terbaik Chef Wan.  Jom lihat bahan-bahan dan cara memasaknya.

Bahan-bahan:
- 1  ekor ikan siakap 500gm
- 2 sudu teh sos ikan
- 1/2 sudu teh tepung jagung
- 1 batang serai dihiris halus
- 5 biji cili merah (dibuang biji dan dihiris halus)
- 2 helai daun limau purut (buang batang di tengah dan hiris halus)
- 1/2 inci halia muda (dikupas kulit dan dihiris halus)
- 2 ulas bawang putih (dikupas kulit dan diketuk)
- 1 tangkai daun ketumbar (dicincang halus)
- 1 batang saderi (dipotong serong pendek-pendek)

Bahan untuk perisa:
- 3 sudu besar jus limau kasturi
- 1 sudu makan sos ikan
- 1 kiub ikan bilis
- 1 sudu teh tepung jagung
- 1 1/2 sudu besar gula
- Garam secukup rasa

Cara-caranya:
1.  Lumur ikan dengan sos ikan dan tepung jagung dan perap selama sekurang-kurangnya 15 minit.
2.  Campurkan kesemua bahan perisa di dalam sebuah mangkuk.
3.  Letakkan ikan di dalam pinggan kukus dan taburkan serai, cili, daun limau purut, halia muda, bawang putih, saderi di atasnya.
4.  Tuangkan bahan perisa di atas ikan itu dan kukuskan di atas air mendidih selama 5 minit.
5.  Angkat, hiaskan dengan daun ketumbar dan ia sedia untuk dimakan.

Sunday, February 1, 2015

Resepi Ayam Masak Kicap Gaya Ummi

Entri 12
Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar:  Koleksi peribadi


Assalamualaikum,

Anak bongsu saya, Hannah sangat gemar makan lauk ini.  Sekiranya saya masak lauk ini, dia memang sudah tidak akan pandang makanan lain.  Cara memasaknya agak mudah dan mengambil masa tidak sampai 20 minit.  Cubalah ya.

Bahan-bahan:
1/2 ekor ayam dipotong kecil
Kunyit serbuk
Garam
Minyak masak
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
5 cm halia
* bawang merah, bawang putih dan halia dimayang
Rempah penumis (bunga lawang, cengkih, kulit kayu manis dan buah pelaga)
2 batang serai (dipotong dan diketuk)
Kicap masin
Sos cili
Sos tomato
Serbuk kari
Lobak merah (dipotong bulat)
Batang saderi (dipotong serong)
Air
3 biji lada merah (dibelah 2 memanjang)

Cara-caranya:
1.  Gaul rata serbuk kunyit dan garam pada ayam.
2.  Panaskan sedikit sahaja minyak masak.  Masukkan ayam dan gaul rata.  Tutupkan kuali dan kecilkan api. Sesekali buka penutup dan gaul rata lagi.
3.  Apabila ayam sudah separuh masak, masukkan bahan yang telah dimayang, rempah penumis dan serai.  Besarkan sedikit api dan gaul rata sehingga naik bau.
4.  Masukkan kicap masin, sos cili, sos tomato, serbuk kari (kuantiti mengikut sesedap rasa).  Gaul rata dan kemudian masukkan sedikit air.
5.  Biarkan seketika hingga sedikit mendidih.
6.  Masukkan lobak merah dan batang saderi.  Gaul dan biarkan sehingga empuk.  Tambah sedikit air sekiranya kuah menjadi terlalu pekat.
7.  Masukkan lada merah.  Gaul sebentar selama 1 minit sahaja.  Siap dan hidangkan bersama nasi panas.

Yummy!

Friday, January 30, 2015

Resepi Mee Sup Ekspres Yang Sempoi

Entri 9
Teks: Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar: Koleksi peribadi


Setiap pagi, otak ligat memikirkan apakah sarapan yang sesuai disediakan untuk santapan seisi keluarga.  Memandangkan hari ini hari Jumaat (negeri Johor bercuti), kedua-dua anak tidak bersekolah.  Jadi, bolehlah menyediakan menu yang berat sedikit. Lihat-lihat peti sejuk, memerhati apa bahan yang ada.  Timbul idea untuk menyediakan mee ekspres sempoi yang sangat digemari aruah ayah dahulu.  Dia sering menyediakannya apabila saya demam.  Dimakan begitu sahaja bersama sos, atau boleh juga dijadikan lauk dengan nasi.  Pelik? Tapi memang sedap.  Cubalah.

Bahan-bahannya adalah:
500gm mee kuning
3 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
5 cm halia
* bawang merah, bawang putih dan halia dimayang halus
sedikit daging ayam (dibuang tulang, ambil isi sahaja dan digaul dengan sedikit garam)
sedikit sotong atau udang (sekiranya suka)
sedikit sayur sawi (dipotong kasar)
2 biji telur ayam
Lada merah & lada hijau (dihiris sebagai hiasan)
Kiub ayam
Garam
Minyak
Air

Cara-caranya:
1.  Cuci mee kuning di bawah aliran air dan toskan (untuk buang rasa kapur).  Boleh juga gunakan spaghetti jika suka.
2.  Panaskan sedikit minyak.  Tumiskan bahan-bahan yang telah dimayang.
3.  Setelah naik bau, masukkan daging ayam dan sotong/udang dan kacau rata.
4.  Setelah air ayam dan air sotong/udang keluarkan sedikit, tambahkan air sebanyak mana kuah yang dikehendaki.
5.  Masukkan sayur sawi, kiub ayam dan biarkan kuah mendidih.
6.  Setelah mendidih, pecahkan telur ayam.  Biarkan sebentar menggunakan api besar. Perisakan dengan garam sekiranya perlu.
7.  Tuangkan di atas mee kuning yang telah diletakkan di dalam pinggan.  Hidangkan.

* Lebih enak dimakan bersama sos cili.

Selamat mencuba!

Monday, January 26, 2015

Resepi Ayam Masak Blackpepper Kawkaw

Entri 4
Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar:  Koleksi Peribadi

 



Assalamualaikum,

Hari ini saya ingin berkongsi satu resepi yang sangat mudah, cepat dimasak, namun sangat menyelerakan terutamanya pada kanak-kanak, iaitu Ayam Masak Blackpepper.

Bahan-bahannya mudah sahaja iaitu:

3 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
5cm halia
(ketiga-tiga ini dimayang halus)
sedikit air masak
sos lada hitam
serbuk lada hitam
sebiji tomato
500gm ayam
1 sudu besar tepung jagung (dibancuh dengan sedikit air)

Cara-caranya:
1.  Goreng ayam yang telah diperap dengan kunyit dan garam separuh masak.  Ketepikan.
2.  Tinggalkan sedikit minyak yang digoreng dan tumiskan bawang merah, putih dan halia sehingga wangi.
3.  Masukkan sedikit sos lada hitam dan air masak.  Biarkan sebentar hingga sedikit mendidih.
4.  Masukkan air tepung jagung.  Kuah akan berubah menjadi sedikit pekat.
5.  Masukkan ayam yang telah separuh masak.  Kacau seketika dan biarkan sehingga ayam masak sepenuhnya.
6.  Masukkan tomato dan sedikit serbuk lada hitam.  Kacau seminit sahaja kerana mahukan tekstur tomato yang rangup.
7.  Matikan api.  Siap untuk dihidang bersama nasi panas.

Selamat mencuba!