Showing posts with label catatan pengalaman. Show all posts
Showing posts with label catatan pengalaman. Show all posts

Thursday, April 23, 2015

Kembali ke dunia WAHM dan SOHO

ENTRI 24

Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar:  Google



Konsep bekerja dari rumah di Malaysia sudah mula diperkenalkan seawal tahun 2000. Saya turut sama menyertai golongan ini pada tahun 2002 selepas melahirkan anak pertama. Pengalaman tersebut telah diceritakan serba sedikit di sini.
Ketika itu, ramai orang yang pelik bila saya mengatakan saya menjalankan SoHo. Huh? Apa itu SoHo? Tidak terdapat mana-mana kumpulan sokongan SoHo di Malaysia. Lalu, untuk menambah jaringan saya telah menyertai USAHANITA. Saya berasa sangat kecil dan rendah diri kerana kebanyakan rakan-rakan mempunyai ruang perniagaan sendiri (kedai/restoren/butik/kilang dll), manakala saya hanya mempunyai ruang kerja yang kecil di bahagian garaj rumah ayah yang telah diubahsuai menjadi sebuah pejabat. Atas sebab-sebab tertentu, setelah hampir 7 tahun saya kembali ke dunia pekerjaan.
Kini, sekali lagi saya bergelar WAHM yang menjalankan SoHo. Namun situasi kali ini sangat berbeza. Sudah terdapat satu kumpulan jaringan yang aktif saling menyokong bagi suri bergelar WAHM. Saya bernasib baik apabila ketika sedang mencari hala tuju seterusnya, tiba-tiba pengasas ABDR ( Akademi Bekerja Dari Rumah) Puan Masayu Ahmad telah 'Add Friend' saya. Saya pun musykil bagaimana beliau menjumpai profil saya memandangkan profil saya bersifat peribadi (private). Namun kuasa Allah, bertemu juga dan Allah jua yang telah menggerakkan hati saya untuk 'Accept Request' daripadanya. Jarang saya berbuat demikian. Melaluinya, sedikit demi sedikit saya mengumpul maklumat tentang ABDR.
Apakah itu ABDR?
Akademi Bekerja di rumah (ABDR) ialah
> kumpulan sokongan khas untuk suri belajar asas bisnes di atas talian
> kumpulan sokongan khas untuk suri belajar menjana pendapatan hanya dari rumah
> kumpulan sokongan khas untuk suri bekerjaya menjana pendapatan secara sampingan
> kumpulan sokongan untuk mereka bergelar wahm
> platform untuk belajar berbisnes produk fizikal secara dropship dan produk digital ebook dan servis.
Saya telah mendaftar secara rasminya dengan ABDR dengan mengikuti sebuah kelas online yang ditawarkannya di bawah kendalian Cikgu Anys Idayu Zakaria. 
Saya akan menerangkan lebih lanjut tentang ABDR dalam entri seterusnya.

Wednesday, April 22, 2015

Bekerja dari Rumah (Work at Home Mom/WAHM)

ENTRI 22

Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar:  Google



Berkobar-kobar beberapa orang rakan menceritakan hal di pejabat semalam.  Ya, walaupun saya sudah lebih empat bulan berhenti kerja, saya masih berhubung rapat dengan kawan-kawan di sana.  Pelbagai perkembangan telah berlaku, dan ianya bukanlah sesuatu yang positif.  Kebanyakannya sudah hilang semangat dan hanya bekerja bermotifkan gaji semata-mata.  Tiada lagi 'passion' atau minat yang mendalam pada pekerjaan. Saya sangat memahami perasaan mereka kerana saya juga pernah melaluinya dahulu.
Namun, nasihat saya ialah "Jangan berhenti dulu". Saya tau, ada sesetengah daripada rakan yang sangat lelah dengan karenah pejabat dan mendambakan masa yang lebih banyak dengan anak-anak. Manakan tidak! Masa sekarang begitu cepat berlalu. Anak sulung saya sendiri sudah menjangkau umur 13 tahun sedangkan rasanya baru semalam saya melahirkan dia. Tetapi ramai yang risau kerana tidak mampu untuk berhenti kerja pada masa ini. Jadi, cari ilmu dulu, bagaimana untuk kita menjana pendapatan dari rumah. 
Buat persediaan mental dan fizikal sebelum berhenti kerja. Siapa kata bosan duduk di rumah? Percayalah, kerja di rumah tidak akan habis. Dari celik mata bangun tidur, sehingga pejam mata waktu malam. Masa akan sentiasa terisi. Di rumah ini, kita adalah orang yang pertama bangun tidur dan kita juga adalah orang yang akan terakhir sekali tidur. Kadang-kadang rasanya lebih sibuk daripada waktu bekerja dahulu. 
Kurang rakan pergaulan? Mungkin. Tapi itu bukan halangan. Kini semuanya di hujung jari. SMS/Whatsapp/Telegram/Skype/FB dan bermacam lagi. 
Fizikal juga harus kuat, kerana kita perlu menguruskan banyak benda. Berlebih lagi apabila menguruskan anak-anak kecil yang masih bersekolah dan yang belum bersekolah. Kadang-kadang kita turut diajaknya berlari, terlompat-lompat bermain. (Ya, anak sulung saya masih mahu saya melayannya bermain futsal). Nampak remeh. Tetapi itulah dia yang bakal menjadi kenangan abadi untuk diri mereka.
Paling utama, disiplin diri dan disiplin dalam menepati masa. Rancang jadual harian kita. Kalau boleh, malam sebelumnya sudah disenaraikan apakah yang mahu dicapai esok hari. Perlu ada sasaran.
Suri rumah juga perlu meluaskan jaringan. Kalau dulu, ibu-ibu kita berbual di hujung pagar di petang-petang hari. Masing-masing bertukar cerita ataupun juadah. Sekarang dunia makin moden. Dalam lelah menguruskan rumah tangga, kita perlukan sokongan rakan-rakan yang memahami. Siapa lagi yang lebih memahami melainkan mereka yang serupa macam kita juga. Suri rumah yang menguruskan anak-anak tetapi dalam masa yang sama masih gigih membuat pelbagai aktiviti bagi menambah pendapatan. 
Di mana perlu dicari jaringan/kumpulan sokongan tersebut? Saya akan kongsikan dalam entri seterusnya. smile emoticon

Saturday, February 7, 2015

Separuh penuh atau separuh kosong?

ENTRI 17

Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar:  Koleksi Google


Assalamualaikum,

Pernah tak anda melalui satu situasi yang membuatkan anda rasa sangat susah hati dan hampir berputus asa? Segala-galanya akan terasa sangat berat.  Walau apapun nasihat yang diterima, anda akan tetap memandang hambar. 

Sebenarnya, apa jua situasi yang hadir dalam hidup kita bergantung kepada cara bagaimana kita melihat situasi tersebut.  Perspektif mempengaruhi keseluruhan pandangan kita.  Kita tidak boleh melihat hidup kita secara objektif semata-mata kerana manusia merupakan ciptaan yang subjektif.  Setiap individu mempunyai personaliti yang tersendiri dan personaliti tersebut mengubah persepsi kita.  Karektor yang introvert mempunyai pandangan lain daripada extravert.  Manakala orang yang optimis juga mempunyai pandangan lain daripada golongan pesimis.

Kadang-kadang kita mengeluh... "aku selalu gagal...apa pun yang aku buat semuanya tak jadi."  Jika ini yang selalu diulang-ulang, maka tidak hairanlah kalau kita gagal.  Kita tidak akan berusaha bersungguh-sungguh dengan penuh keyakinan kerana kita sendiri telah menetapkan yang kita akan gagal.  Sebaiknya kita berfikir sebegini, bukan semua yang kita lakukan itu akan mengikut acuan yang kita kehendaki.  Kadang-kadang menjadi, kadang-kadang gagal.  Hanya dengan berfikir sebegitu, secara otomatik kita akan berusaha lebih gigih bagi memastikan usaha itu berhasil.

Lihat di gambar.  Apa yang kita nampak di situ?  Adakah gelas itu separuh penuh? Atau adakah ia separuh kosong?  Orang yang pesimis akan melihatnya sebagai separuh kosong, manakala orang yang optimis akan melihatnya sebagai separuh penuh. Sikap optimis akan mencetuskan pula sikap opportunis yang mencipta pelbagai peluang manakala sikap pesimis akan membunuh setiap peluang yang mungkin ada dan hanya melihat masalah sahaja. Dengan hanya melihat gelas itu sebagai separuh penuh akan mendorong rasa gembira yang sekaligus akan membawa kepada hidup yang lebih sihat dan bahagia.

Ada beberapa cara untuk kita memenuhkan gelas tersebut.  Antaranya ialah:
1.  Meletakkan matlamat apa yang kita hendak capai dan fokus serta tekun mengejar matlamat itu.
2.  Keluar daripada zon selesa dengan berani mengambil risiko bagi mengejar cita-cita dan impian.
3.  Menukar masalah kepada peluang dengan melihat dari tetingkap (frame) yang berbeza.
4.  Menjauhkan diri daripada mereka yang bersifat pesimis dan lebih bergaul dengan mereka yang berfikiran positif.
5.  Mengubah perawakan dan penampilan kepada gaya seorang optimis.  Stand tall, chin up, senyum dan bercakap dengan penuh keyakinan, sama seperti gaya seorang yang telah berjaya.  Dengan sendirinya aura tersebut akan menarik mereka yang sama positif dan beraspirasi yang sama.  Lebih banyak peluang juga akan datang kepada anda.
6.  Cuba melihat jenaka dalam setiap situasi, walaupun situasi itu sukar.  Apabila kita ketawa, lebih banyak hormon endorfin akan dirembeskan.  Ini akan membantu kita mengurangkan kesakitan, meningkatkan sistem imunisasi tubuh dan mengurangkan stres.
7.  Bersenam atau bersukan kerana secara psikologi ia akan mencetuskan rasa seronok dan gembira (feel good) dalam diri.  Anda akan lebih bersedia untuk melihat setiap cabaran secara optimistik.

Jadi, tukarkan setiap aura negatif itu kepada aura yang positif.  Insya Allah, pelbagai perkara yang baik pasti akan datang.  Seperti kata Prof. Muhaya, positif menarik positif, manakala negatif akan menarik negatif.  Wallahualam.

Thursday, February 5, 2015

Jangan Suka Bertangguh

ENTRI 15

Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim

Salah satu sikap yang paling merugikan ialah sikap suka bertangguh.  Sebagaimana kata pepatah Melayu, 'Masa itu emas'.  Pepatah Inggeris pula mengatakan, 'Time is money'.  Tidak kiralah pepatah mana pun, pokoknya sikap itu sangat merugikan diri sendiri.

Sedari kecil, ibu bapa perlu menanamkan sifat jangan suka bertangguh (procrastination) di dalam diri anak-anak.  Seringkali apabila kita memanggil mereka, atau mengarahkan mereka berbuat sesuatu, secara spontan jawapan yang akan kita dapati ialah 'nantilah', 'sekejap' atau 'tunggu dulu'.  Kadang-kadang rasa geram juga di hati ini.  Padahal perkara yang disuruh itu tidaklah sesukar mana pun.  Contohnya mematikan suis televisyen yang tidak ditonton, ataupun menutup langsir tingkap di rumah.

Dulu-dulu, saya pun bersikap begitu juga.  Sehinggalah suatu hari, saya terbaca satu buku cerita kanak-kanak tentang hal ini.  Saya ingat lagi, tajuk buku itu ialah 'Tunggu sekejap'.  Buku itu mengisahkan tentang seorang kanak-kanak yang amat suka bertangguh apabila ibu bapanya atau guru menyuruh dia melakukan sesuatu.  Sehinggalah pada suatu hari, ibunya menyuruh dia menutup sangkar burung kesayangannya yang terbuka sedikit kerana khuatir dimakan oleh kucing mereka.  Seperti biasa, dia mengatakan 'Tunggu sekejap'.  Tau-tau, burung kesayangannya telah pun mati digigit oleh si kucing.  Selepas itu barulah dia merasa menyesal yang amat.  Barulah dia sedar bahawa sikap bertangguh itu adalah sangat merugikan.

Saya juga menghadapi masalah yang sama dengan anak-anak saya.  Baik si abang, mahupun si adik.  Apabila disuruh, ada sahaja alasan mereka.  Paling bengang jika di antara mereka saling tolak menolak untuk melakukannya.  Memang boleh mendatangkan marah!  Laju saja suara ini nak meninggi.  (Seringkali memang terlepas juga tinggi suara).  Tapi saya selalu mengingatkan diri.  Seperti yang selalu dibaca tentang komunikasi bersama anak-anak, mereka memang tidak akan terus mendengar arahan.  Namanya saja sudah kanak-kanak.  Maka. tahap fikiran mereka juga bukan seperti kita orang dewasa yang boleh terus mencerna, menghadam dan seterusnya bertindak sebagaimana patut.  Kanak-kanak perlu diingatkan secara berulang-ulang dengan berhemah.

Tidak kira siapa pun anda, buanglah sikap suka bertangguh ini.  Sebagai pelajar, jangan bertangguh mengulangkaji pelajaran sehingga hari peperiksaan.  Sebagai pekerja pula, jangan bertangguh menyiapkan tugasan sehingga tiba dateline.  Sebagai ahli perniagaan, setiap saat amatlah berharga kerana ia boleh menentukan jatuh bangun perniagaan anda.

Wednesday, February 4, 2015

Hiking Sambil Berzikir

ENTRI 14
Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar: Koleksi peribadi


Salah satu hobi yang semakin digemari ramai ketika ini ialah mendaki gunung.  Saya sendiri pernah mencuba hobi ini kira-kira 4 bulan yang lepas apabila mendaki Gunung Pulai bersama-sama suami dan anak-anak.  Memang seronok!  Selain daripada dapat meluangkan masa bersama-sama, aktiviti ini juga dapat meningkatkan stamina dan tahap kesihatan.

Ketinggian Gunung Pulai hanyalah 2,146 kaki sahaja.  Tetapi oleh kerana itu merupakan pengalaman pertama kami anak-beranak mendaki gunung, perjalanan naik sahaja telah mengambil masa selama kira-kira 4 jam.  Banyak kali juga kami berhenti untuk melepaskan lelah.

Sepanjang pendakian, kami menikmati suasana hutan yang sangat asing bagi kami.  Pelbagai flora dan fauna dapat dilihat.  Di sinilah terletaknya apresiasi alam dan rasa bersyukur dan kagum di atas kekuasaan Allah dan keindahan alam ciptaanNya.

Sebenarnya ada satu lagi cara untuk menikmati keindahan alam itu, iaitu mendaki sambil berzikir dan mengingati Allah.  Sambil-sambil itu, kita juga boleh mendengar ayat Al-Quran dan terjemahannya.  Berada di tengah-tengah hutan, mungkin rasa insaf dan kecil itu akan meresap lebih jauh ke lubuk hati kita.

Selalunya para pendaki gunung lebih gemar mendengar lagu di Ipod melalui earphone.  Apa kata kita tukar trend itu dengan mendengar ayat suci Al-Quran dan zikir ketika mendaki.

Dapatkan Radio Digital Islamik.  Dengan hampir 500 fail mp3 Islamik, semoga pendakian akan lebih mudah, lancar, dilindungi dan diberkati Allah.  Saiznya yang kecil (hanya sebesar tapak tangan) membuatkannya mudah disimpan di poket dan dibawa ke mana sahaja.  Harganya juga jauh lebih murah daripada Ipod. 


Thursday, January 29, 2015

Doa Pelembut Hati

Entri 7
Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar:  Google

Assalamualaikum,

Dalam entri saya yang pertama, saya ada bercerita tentang perubahan tingkah laku anak sulung saya pada tahun lepas.  Dia menjadi sangat keras hati dan pemarah. Perubahan kelakuannya yang berlaku secara tiba-tiba sangat memeningkan kepala. Pelbagai cara saya dan suami lakukan termasuk rawatan secara Islam dan juga rawatan psikologi, namun masih menemui jalan buntu. 

Air mata menjadi peneman setia saya, sehingga saya akhirnya perlu mengambil cuti tanpa gaji selama sebulan bagi menumpukan perhatian kepadanya.  Walau bagaimanapun, dia masih tidak berubah.  Malahan menjadi semakin agresif.

Namun saya bersyukur di atas ujian yang diberikan oleh Allah. Saya belajar konsep pasrah dan redha.  Saya kembali mencari agama. Saya bangun bersolat malam (yang amat jarang dilakukan sebelum ini).  Solat taubat, solat hajat, solat tahajud dan solat witir menjadi sahabat baik saya.  Saya juga mencari ilmu bagaimana untuk menggunakan ayat Al-Quran bagi melembutkan hatinya.  Ustaz terakhir yang kami jumpa iaitu Ustaz Razak menyatakan kuncinya ada pada saya, selaku ibunya. 

Justeru saya terus membuat kajian atas talian dan ayat yang paling kerap saya jumpa ialah Surah Taha (ayat 1-6) yang amat berkesan untuk melembutkan hati.  Sebenarnya ayat itulah yang telah dibaca oleh adik Saidina Umar r.a. yang telah terus mencairkan hati beliau dan membatalkan niatnya untuk memukul adiknya.  Rentetan itu beliau telah terus memeluk agama Islam dan menjadi salah seorang sahabat Baginda Rasulullah.



Saya amalkan membaca surah ini dan niatkan untuknya.  Setiap kali memasak, saya juga membacakan surah ini. Dan setiap kali saya menghidangkan makanan untuknya, saya akan membaca ayat ini dan meniupkannya pada air minumannya. Setiap malam ketika dia sedang tidur, saya pegang dadanya dan membacakan ayat ini lalu kemudiannya ditiupkan pada ubun-ubunnya.  Saya lakukan semua ini tanpa jemu sehinggalah hari ini.  Alhamdulillah atas izinNya, hatinya semakin lembut.  Dia sudah boleh bergurau senda semula, dan senyumannya semakin manis dari hari ke hari.  Alhamdulillah...syukur ya Allah. :)

Sunday, January 25, 2015

Komunikasi Dengan Staf

Entri 3
Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar:  Koleksi peribadi



Assalamualaikum,

Pengalaman sepanjang 5 tahun 7 bulan bekerja di UTMSPACE banyak memberi pengajaran kepada saya. Pada awal kemasukan, saya telah dilantik sebagai pegawai sehinggalah jawatan akhir saya sebagai seorang Pengurus.  Ini bermaksud sepanjang tempoh tersebut, saya sentiasa mempunyai staf bawahan yang perlu dipantau.  Daripada 2 orang, sehinggalah kepada 10 orang di bawah satu Unit.

Pada mulanya agak kekok untuk memberi arahan atau memantau tugasan.  Tetapi bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa.  Namun pada pengalaman saya, ada beberapa tip yang perlu diamalkan bagi memastikan komunikasi antara pegawai atasan dan staf bawahan sentiasa berada dalam keadaan baik.

1. Sifat berterus terang
Saya mengamalkan sikap berterus terang dengan staf.  Sekiranya saya perlu menegur mereka, saya akan melakukannya secara telus.  Tidak ada sikap berselindung. Yang penting mereka faham akan kesalahan mereka dan perlu membaikinya.

2. Anggap staf sebagai sahabat
Saya selalu menegaskan kepada staf bahawa walaupun mereka adalah orang bawahan saya, saya juga adalah sahabat mereka, atau boleh dianggap sebagai kakak sulung.  Justeru, mereka boleh datang kepada saya sekiranya mempunyai masalah, sama ada dari segi kerja ataupun bersifat peribadi. Ambil tahu tentang maklumat peribadi staf seperti nama pasangan dan anak-anak, makanan kegemaran mahupun hobi mereka.  Berdasarkan pengalaman saya, ini akan menjadikan staf berasa lebih dekat dengan ketua dan tidak akan malu atau ragu untuk berkongsi masalah ataupun kegembiraan mereka. Sejujurnya, sekali kita sayang staf, staf akan 2,3 kali lebih sayang kepada ketua.

3. 'Empowerment' atau memperkasakan keupayaan staf
Apabila ketua telah memberi kuasa kepada staf untuk bertanggungjawab atas sesuatu, maka apa yang perlu dilakukan ialah berdiam diri dan memantau.  Sekiranya terdapat kepincangan, barulah ditegur secara berhemah.  Ada sesetengah ketua terlalu bersifat mengawal.  Semua perkara waima sekecil-kecil isu perlu melaluinya.  Adalah lebih baik untuk memberi kebebasan kepada staf bawahan untuk melaksanakan tugasan.  Ketika itu, barulah proses pembelajaran akan berlaku dan staf akan mempunyai lebih pengalaman. Yang penting adalah hasil akhir atau 'final result' yang bagus.

4.  Ketua tidak sentiasa betul
Sesetengah ketua tidak boleh menerima teguran daripada staf walaupun ternyata keputusan atau perkara yang dilakukan adalah salah.  Saya berpendapat ini akan melemahkan sesuatu organisasi.  Walaupun ketua berada di posisi pengurusan yang mengawal, namun staf yang berada di peringkat operasilah yang lebih tahu tentang permasalahan atau kelebihan setiap tindakan.  Justeru, ada kalanya ketua perlu menerima teguran dan pendapat daripada pihak bawahan.

5.  Contoh yang baik
Setiap ketua perlu menunjukkan contoh yang baik kepada staf daripada semua segi, seperti disiplin, pengurusan masa, cara kerja dan sebagainya.  Agak tidak kena sekiranya seorang ketua acapkali datang lewat tetapi perlu pula menasihati stafnya yang juga mempunyai masalah menepati masa.  Kepimpinan melalui teladan harus ditunjukkan pada setiap masa.

6.  Beri peluang kepada staf
Ketua tidak perlu menganggap staf sebagai pesaing.  Ada sesetengah ketua yang mengambil hasil kerja staf dan diletakkan atas namanya bagi tujuan pembentangan kepada pihak pengurusan tertinggi.  Kredit perlu diberikan kepada staf tersebut kerana dia berhak mendapat pengiktirafan tersebut.

7.  Susah dan senang bersama
Sesetengah ketua hanya tahu mengarah, namun tidak sanggup sama-sama berusaha atau menolong staf sekiranya perlu.  Saya dapati ini hanya akan menjurangkan hubungan kerja.  Contohnya sekiranya ketua mengarahkan staf bawahan untuk kerja lebih masa pada hujung minggu bagi menyiapkan tugasan, adalah lebih baik sekiranya ketua tersebut turut sama berada di situ. Kalau pun tidak sama-sama bekerja, ketua boleh membawakan makanan atau minuman ringan untuk mereka. Paling tidak sekiranya ketua tidak dapat hadir, dia perlu menelefon staf bagi mengetahui perkembangan kerja. Staf akan berasa lebih dihargai dan lebih mudah memberikan kerjasama.

Setakat ini dulu perkongsian saya tentang tip komunikasi dengan staf.

Saturday, January 24, 2015

Dwi Imej

Entri 2
Teks:  Rahiza Haszian binti Abdul Rahim
Gambar:  Koleksi peribadi


Assalamualaikum,

Hari ini saya ingin berkongsi sedikit tentang perniagaan SoHo yang telah saya jalankan sebelum ini.

Seperti yang saya telah jelaskan di dalam entri sebelum ini, perniagaan tersebut telah saya warisi daripada allahyarham ayah saya yang telah pergi secara tiba-tiba pada tahun 2004.  Nama syarikat tersebut ialah Dwi Imej, dan telah beroperasi sepenuhnya di rumah saya di Johor Bahru.  Operasi utama syarikat itu ialah reka bentuk grafik dan susun atur huruf untuk produk berasaskan kertas seperti buku, brosur, buletin, laporan tahunan dan sebagainya.  Namun, saya menyediakan perkhidmatan daripada peringkat draf sehinggalah produk siap dicetak.  Ini bermaksud saya perlu berurusan dengan kedua-dua pelanggan dan juga pembekal /pencetak.

Ketika itu, saya merupakan antara perintis konsep SoHo di Malaysia.  Berikut adalah antara kelebihan SoHo mengikut pengalaman saya:

1. Penjimatan kos operasi
-  Tidak perlu membayar sewa kedai, kos elektrik dan air. Kita juga tidak perlu mengisi lebih minyak untuk kenderaan berulang-alik ke pejabat. Saya hanya keluar apabila mempunyai temujanji dengan pelanggan atau pembekal.  Selalunya saya akan menyusun masa temujanji supaya saya boleh melakukan beberapa urusan pada hari yang sama. Kita juga tidak perlu mencetak Sebutharga/Invois/Pesanan Penghantaran dalam kuantiti yang banyak kerana semua dokumen tersebut hanya dicetak apabila diperlukan

2. Pengurusan masa yang fleksibel
-  Tidak terikat dengan waktu pejabat. Walaupun idea datang ketika tengah malam, saya hanya perlu pergi ke ruang kerja, hidupkan komputer dan terus mereka bentuk. Kita adalah ketua pada diri kita sendiri.  Kita tidak perlu melapor kepada sesiapa.  Jadi, kita boleh memilih dan menetapkan masa untuk melakukan pelbagai aktiviti seperti aktiviti perniagaan, menguruskan rumah tangga, menguruskan hal ehwal anak sekolah dan macam-macam lagi.  Yang penting, kita perlu menetapkan masa sasaran untuk menyiapkan sesuatu tugasan dan harus mempunyai disiplin diri yang tinggi.

3.  Hubungan kekeluargaan yang lebih akrab
-  Apabila bekerja di pejabat, kita akan meluang masa antara 8 hingga 10 jam waktu bekerja.  Rutin harian akan dimulai dengan menghantar anak di nurseri atau sekolah seawal pukul 7 pagi dan mengambil mereka semula pada pukul 6 petang.  Mereka yang berkemampuan mungkin akan mengambil pembantu rumah. Ini  bermaksud anak-anak akan meluangkan lebih masa dengan orang asing daripada ibu bapa sendiri. Sekiranya bekerja dari rumah, hal ehwal anak-anak boleh dilakukan sendiri tanpa perlu di sub-kontrak kepada pakcik van sekolah/pembantu taska/pembantu rumah.  Lebih banyak interaksi akan berlaku dan hubungan dengan anak juga akan jadi lebih akrab.  Ini adalah sangat penting bagi menjamin tumbesaran dan perkembangan anak yang lebih sihat daripada segi fizikal dan mental.

Dalam setiap situasi, pasti ada kebaikan dan keburukan.  Begitu juga dengan konsep SoHo.  Antara keburukannya ialah:

1.  Hilang fokus dan keutamaan (priority)
- Sebagai seorang suri rumah, selalunya fikiran akan dikuasai oleh kerja-kerja rumah yang tidak akan pernah selesai.  Ini akan mempengaruhi tumpuan yang diberikan kepada perniagaan.  Justeru, seperti yang dikatakan sebelum ini, pengurusan masa dan disiplin diri adalah sangat penting.

2.  Tiada suasana kerja di pejabat
- Sebagai seorang WAHM di SoHo, kita tidak akan dikelilingi oleh rakan-rakan secara fizikal. Yang ada hanya jerit tangisan atau ketawa gembira si anak, ataupun suara dari siaran TV dan radio.  Kita tidak akan ada rakan sekerja untuk berborak atau bertukar-tukar fikiran perihal kerja.  Bagi sesetengah individu, ini akhirnya akan mempengaruhi mood dan motivasi untuk bekerja.

Ketika bekerja di UTMSPACE, saya telah membiarkan lesen perniagaan saya luput begitu sahaja.  Namun pada awal bulan ini, saya telah menghidupkan kembali lesen Dwi Imej.  Saya merancang untuk memulakan semula operasi secara kecil-kecilan.  Mungkin tidak dapat melakukan serancak sebelum ini kerana terikat dengan jadual sekolah anak-anak.  (Sebelum ini mereka masih belum bersekolah, jadi saya tidak perlu sangat keluar-masuk menguruskan mereka).  Jadi, saya perlu mencari dan mempelajari perniagaan lain yang boleh dijalankan hampir sepenuhnya dari rumah.  Di sinilah titik permulaan saya berkenalan dengan ABDR dan pengasasnya Puan Masayu dan cikgu saya, Puan Anys Idayu Zakaria.

Friday, January 16, 2015

Pengenalan Diri

Entri 1
Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim

Assalamualaikum  warahmatullahi wabarakatuh.

Apa khabar? Selamat berkenalan.  Nama saya Rahiza Haszian binti Abdul Rahim.  Ya, saya tahu. Nama itu memang agak panjang.  Menurut aruah ayah dan ibu saya, nama tersebut adalah gabungan daripada nama-nama mereka iaitu Rahiza daripada 'Rahim' dan Haszian daripada 'Hasmah'.  Pada tahun 2015 ini, genap empat puluh (40) tahun saya diberikan peluang untuk menghela nafas di bumi Allah ini. Alhamdulillah, syukur di atas segala limpahan nikmat yang dikurniakan olehNya. 

Saya telah dilahirkan di Kampung Melayu, Kluang, Johor.  Berketurunan Jawa daripada sebelah ayah dan Minangkabau daripada  sebelah ibu, saya merupakan anak bongsu daripada dua (2) orang adik beradik. Satu-satunya abang yang saya ada di dunia ini berusia lebih tua sembilan (9) tahun daripada saya. Kedua-dua ayah dan ibu adalah merupakan bekas guru.

Saya telah menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Tunku Mahmood (2), Kluang, Johor. Seterusnya pendidikan menengah telah diteruskan di Sekolah Menengah (P) Temenggong Ibrahim, Batu Pahat, Johor dan Sekolah Menengah (P) Sultan Ibrahim, Johor Bahru, Johor.   Tamat persekolahan, saya telah melanjutkan  pelajaran di Universiti Teknologi Malaysia dalam jurusan Integrasi Sains Komputer.  Setelah tiga (3) tahun, saya telah dianugerahkan Diploma Sains Komputer dan seterusnya diserapkan ke program Sarjana Muda Sains Komputer dalam pengkhususan Sistem Maklumat Pengurusan. Saya akhirnya berjaya menggengam segulung ijazah pada penghujung tahun 1999.

Pada tahun 2000, bermulalah episod baru dalam hidup saya.  Saya telah memulakan kerjaya saya di Malaysia Matsushita Electronics Corporation (MMEC), Shah Alam sebagai Jurutera Sistem.  Pada tahun yang sama juga, saya telah dijabkabulkan dengan seorang jejaka, anak jati Darul Naim yang telah berjaya mencuri hati saya.  Setelah setahun di MMEC, saya ditawarkan pula oleh Arab Malaysian Merchant Bank (AMMB) sebagai seorang Pengaturcara Analisis.  Namun, pada tahun 2002, suami telah mendapat tawaran pekerjaan di Johor Bahru.  Setelah berbincang, kami mengambil keputusan untuk menerima tawaran tersebut.  Maka, seperti sirih pulang ke gagang, saya telah kembali ke negeri kelahiran saya.   Alhamdulillah, pada tahun itu juga, saya hamil anak pertama.  

Oleh kerana kehamilan tersebut, saya telah menangguhkan hasrat untuk mencari pekerjaan baru.  Ayah mencadangkan agar saya membantunya untuk membuat kerja-kerja reka bentuk grafik dari rumah sahaja.  Kebetulan, ayah memang memiliki sebuah syarikat penerbitan secara kecil-kecilan.  Walaupun saya langsung tidak mempunyai pengalaman dan kemahiran dalam bidang grafik, kerana pengkhususan saya ialah dalam pembinaan sistem maklumat, namun tawaran ayah itu saya terima.  Akhirnya saya sendiri rasa seronok bekerja dari rumah dan sedikit demi sedikit, saya semakin mahir mengendalikan urusan reka bentuk dan perisian grafik. Hasrat untuk mencari pekerjaan yang bersesuaian setelah melahirkan akhirnya hilang begitu sahaja.

Pada tahun 2004, kami sekeluarga telah dikejutkan dengan pemergian ayah secara tiba-tiba.  Secara serta-merta, urusan syarikat terletak di bahu saya kerana abang sudah ada perniagaannya sendiri dan tidak berkesempatan untuk mengambil alih syarikat ayah.  Perkara pertama yang saya lakukan ialah dengan melihat semula operasi dan status kewangan syarikat.  Saya telah mengambil keputusan untuk menghentikan staf dan operasi di kedai.  Saya tidak yakin akan mampu menggaji staf kerana langsung tidak berpengalaman.  Saya tidak mahu mengambil risiko kerana beberapa orang di antara mereka ialah staf lelaki yang perlu menyara keluarga masing-masing.  Dengan berat hati, saya meminta mereka untuk mencuba rezeki di tempat lain.  Alhamdulillah, mereka memahami permintaan saya.

Secara berdikit-dikit saya meneruskan usaha ayah dari rumah secara berseorangan.  Segala-galanya saya lakukan sendiri.  Daripada keluar bertemu pelanggan, kerja-kerja reka bentuk, berurusan dengan pencetak, sehinggalah penghantaran produk yang telah siap. Pelbagai selok belok perniagaan saya redahi. Bermacam pengalaman diperolehi dan pelbagai kemahiran turut dipelajari.  Ketika itu, konsep SoHo adalah sangat baru.  Tidak ramai yang mengetahui ataupun menyokong cara pekerjaan sebegitu.  Berkat sokongan suami, saya berjaya menguruskan perniagaan dengan baik sehingga beberapa kali terlibat dengan penghasilan buku bertaraf kebangsaan hasil kerjasama dengan beberapa agensi kerajaan.  Dalam pada itu, saya juga perlu membahagikan perhatian kepada suami, anak-anak dan terutamanya ibu saya yang telah mengalami tekanan perasaan dan kemurungan yang sangat hebat apabila ayah pergi secara tiba-tiba.

Pada tahun 2008, saya dan anak-anak telah mengikut suami ke Amerika Syarikat atas urusan pekerjaan.  Kami berada di sana selama hampir setengah tahun.  Sekembalinya kami, saya telah berurusan kembali dengan jabatan kerajaan untuk menuntut pembayaran kerja.  Alangkah kecewanya saya, setelah setengah tahun berlalu pembayaran masih belum boleh dibuat.  Sebenarnya inilah masalah utama yang saya hadapi apabila berurusan dengan agensi kerajaan.  Apabila kerja sedang dilakukan, mereka meminta kita untuk segera menyiapkan kerja.  Walaupun tanpa menerima L.O, kerja tetap diteruskan mengenangkan hubungan baik perniagaan yang telah lama terjalin.  Tetapi apabila meminta pembayaran, pelbagai alasan akan diberikan.

Awal tahun 2009, seorang yang rapat hubungan kekeluargaannya dengan saya telah menawarkan saya peluang pekerjaan.  Dek kerana rasa kecewa dan penat dengan urusan perniagaan, saya mengambil keputusan untuk menerima tawaran tersebut.  Lalu bermula sebuah lagi episod baru dalam hidup saya, iaitu menjawat jawatan Pegawai di Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan, Universiti Teknologi Malaysia (UTMSPACE).  Pada tahun itu juga anak sulung saya telah memulakan persekolahannya di Darjah Satu manakala anak yang kedua baru berusia tiga (3) tahun.

Saya telah dinaikan pangkat beberapa kali. Akhirnya pada penghujung tahun 2014, tepat 5 tahun 7 bulan, saya telah meletakkan jawatan akhir saya sebagai Pengurus di Unit Penyelidikan, Penerbitan dan Perhubungan Pelanggan.  Ramai yang bertanya saya, tidakkah merasa rugi atau terkilan meletakkan jawatan tersebut? Jawapan saya, tidak sama sekali. Mari saya ceritakan kenapa.

Tahun 2014 merupakan tahun yang sangat beerti buat saya. Pelbagai peristiwa yang tidak disangka telah berlaku.  Dugaan yang sangat hebat saya terima apabila anak sulung yang hendak mengambil UPSR pada tahun itu tiba-tiba berubah laku.  Daripada seorang anak yang periang dan ceria, tiba-tiba dia menjadi pemarah dan pendendam.  Puas saya memikirkan dan menyiasat sebabnya.  Akhirnya saya perlu mengakui, puncanya banyak datangnya daripada saya.  Dek kerana terlalu sibuk dan stres bekerja, saya secara tidak sengaja sering melepaskan kemarahan saya kepada dia. Saya terlupa yang dia kini bukan lagi anak-anak kecil.  Dia sudah ada pemikiran dan kemahuannya yang tersendiri.  Tambahan pula keluarga kami masih tinggal dengan ibu yang sangat terkenal dengan sikap tegas dan disiplinnya, dan saya pula seringkali bekerja luar, lalu terjadi konflik dalaman pada diri anak saya.  Alhamdulillah, saya bersyukur di atas teguran yang Allah berikan ini.  Walaupun sukar, tanpa jemu saya memohon dan sujud kepada Allah untuk membantu saya memikat kembali sang anak.  Syukur ke hadrat Allah, saya belajar untuk meletakkan keutamaan kepada perasaan anak-anak dan suami lebih daripada segala-galanya.  Akhirnya sang anak menyatakan hasrat agar saya sendiri yang menguruskan segala keperluannya dan si adik.  Mereka rindukan kehadiran Ummi yang sentiasa di sisi mereka.  Permintaan anak meluluhkan hati saya.  Terasa betapa berdosa dan culasnya saya selama ini.  Mana mungkin saya menolak permintaan mereka sedangkan mereka dan suami adalah segala-galanya bagi saya.

Tanpa berfikir panjang, saya telah menulis surat perletakan jawatan.  Setelah sebulan notis, saya kembali menjadi suri rumah tangga sepenuh masa.  Memang benar, walaupun sibuk dan penat tidak terkata, saya merasa sangat puas kerana dapat meluangkan lebih banyak masa dengan anak-anak.  Saat yang paling saya nantikan ialah apabila berada di dalam kereta menghantar dan mengambil mereka di sekolah. Mendengar celoteh mereka yang tidak henti-henti sangat membahagiakan saya.  Alhamdulillah..syukur Ya Allah.

Di waktu senggang, saya amat gemar membaca.  Memang itulah hobi utama saya sedari kecil.  Kebanyakan bacaan saya ialah novel Bahasa Inggeris. Genre pilihan saya ialah jenayah benar (true-crime). Penulis yang sangat saya minati ialah Ann Rule sehingga pada permulaan saya menyertai Facebook, saya telah mewujudkan 'Ann Rule Fan Club' dan sehingga kini mempunyai lebih daripada 4000 ahli dari serata dunia.  Melalui FB juga saya telah dapat berinteraksi secara langsung dengan penulis yang telah saya minati semenjak saya di Tingkatan 5 itu.  Semenjak tahun 2013 pula, saya mula membaca karya penulis Ramlee Awang Murshid.  Beliau ialah satu-satunya penulis tempatan yang saya minati.  Cara penulisannya yang kreatif dan bersahaja adalah sangat menarik. 

Oleh kerana minat membaca, secara tidak langsung saya turut minat menulis. Sedari sekolah, rencana tulisan saya telah disiarkan di majalah sekolah. Perniagaan saya sebagai pereka bentuk grafik dan penyusun atur huruf juga menyebabkan saya terlibat secara langsung sebagai penyunting.  Walaupun itu tidak termasuk dalam skop perniagaan, tetapi saya merasa puas sekiranya buku yang saya hasilkan bebas daripada kesalahan ejaan dan bahasa.  Ketika berada di UTMSPACE pula, bidang penulisan dan suntingan adalah memang di bawah tanggungjawab saya di mana saya perlu menulis dan memantau artikel serta bahan bacaan lain yang melibatkan organisasi untuk siaran di akhbar dan majalah.

Berbalik kepada cerita kerjaya, selama sebulan notis berhenti, saya telah mencari-cari alternatif ataupun sumber untuk bekerja dari rumah.  Walaupun pernah melakukannya sebelum ini, tetapi setelah hampir enam (6) tahun makan gaji, saya jadi agak goyah dan kurang yakin.  Dengan kuasa Allah, saya tidak tahu bagaimana dan bila, tiba-tiba seorang bernama Masayu Ahmad telah 'Add Friend' saya di FB. Saya pun tidak pasti bagaimana beliau menemui profil saya memandangkan profil saya adalah bersifat 'private'.  Melalui FBnya saya mendapat tahu tentang Akademi Bekerja Di Rumah.  Sedikit demi sedikit, saya mengumpul maklumat tentang ABDR.  Saya juga telah terserempak dengan profil Anys Idayu Zakaria di FB Masayu.  Saya memberanikan diri untuk menyapa Anys dan bertanyakan tentang ABDR.  Lama juga masa yang saya ambil untuk menimbang tara sebelum menyertai ABDR.  Bukannya apa, saya khuatir sekiranya tidak dapat memberikan komitmen.  Setelah faham tentang konsep ABDR dan atas keizinan dan sokongan suami, saya telah menyertai keluarga besar ABDR di bawah cikgu Anys. 

Matlamat saya menyertai ABDR ini adalah mudah.  Saya memerlukan sokongan dan tunjuk ajar bagaimana untuk meraih pendapatan secara online.  Sebagaimana wanita lain, saya juga perlu memenuhi beberapa komitmen kewangan.  Oleh kerana keutamaan saya ketika ini ialah anak-anak, sukar untuk saya menjalankan perniagaan seperti dahulu.  Masa saya yang sentiasa dipenuhi dengan aktiviti bersama mereka tidak memungkinkan saya untuk aktif dengan syarikat seperti dahulu.  Saya perlu mencari alternatif lain di mana saya boleh menjana pendapatan walaupun saya tidak keluar untuk bertemu pelanggan.  Dengan jaringan luas dan bilangan ahli yang ramai, saya kira ABDR adalah pilihan yang amat tepat. Saya sangat berharap untuk dapat memperolehi pengetahuan dan perkongsian pengalaman melalui ABDR.

Rasanya coretan pertama saya ini agak panjang.  Saya berterima kasih kepada Puan Masayu Ahmad dan Puan Anys Idayu Zakaria atas perkongsian pengetahuan yang sangat bermanfaat.  Saya berharap akan terus melangkah ke hadapan.  Yang paling utama, saya berharap dengan keputusan saya untuk berhenti bekerja di pejabat dan meluangkan lebih masa dengan anak-anak akan dapat membentuk mereka menjadi hamba Allah yang taat dan berperibadi tinggi.  Saya tidak boleh mengubah perkara yang telah berlaku, namun saya berharap masih belum terlambat untuk saya mencipta kenangan dan 'moment' indah bersama anak-anak dan keluarga. Insya Allah...