My Social Media

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

Tuesday, October 6, 2015

Resepi Brownies Mudah dan Sedap

ENTRI 29

Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar:  Koleksi peribadi



Sudah beberapa kali saya terlihat rakan-rakan memuatnaik gambar pelbagai jenis brownies di laman Facebook dan Instagram.  Ada yang pergi belajar membuatnya dan ada juga yang berniaga.  Saya sendiri teringin nak membuat sendiri brownies.  Pernah sekali saya mencuba, tetapi hasilnya tidak seberapa.  Mungkin kerana saiz loyang yang terlalu besar menjadikan brownies saya tidak 'naik'.

Namun saya tidak berputus asa.  Kali ini, saya mencuba resepi baru yang diberi oleh rakan baik saya dari Kota Bharu.  Resepinya sangat mudah, dan bahan-bahannya semua mudah didapati.  Lebih menyenangkan lagi, saya tidak perlu menggunakan pengadun elektrik untuk membancuh bahan.  Cukup dengan menggaul menggunakan spatula.

Mari kita semak resepinya.

Fuss Free Brownies

1 cawan mentega atau minyak sayuran
2 cawan gula perang
1/2 cawan serbuk koko
1 sudu teh esen vanila
4 biji telur sederhana besar
1 cawan tepug gandum
1/2 sudu teh serbuk penaik
1/2 sudu teh garam
1/2 cawan badam yang dihiris

Cara-caranya:
1.  Cairkan mentega dan sejukkan ke suhu bilik.  Boleh juga digantikan dengan minyak sayuran (saya gunakan jenama Naturel)
2)  Campurkan mentega/minyak tersebut dengan kesemua bahan di atas.  Gaul rata sehingga nampak berkilat dan terdapat buih-buih kecil (bubbles)
3)  Sapukan mentega di atas loyang bersaiz 9X9.
4)  Masukkan bancuhan tadi.
5)  Bakar di dalam oven selama 25 minit pada suhu 180C

Enak dihidang untuk minuman petang bersama secawan teh panas.

Selamat mencuba!

Resepi Bihun Singapore

ENTRI 28


Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar:   Koleksi peribadi



Beberapa hari yang lepas, saya tiba-tiba teringin untuk menyediakan Bihun Singapore untuk sarapan.  Saya pun kurang pasti kenapa ia diberikan nama Bihun Singapore.  Sebenarnya ia cumalah bihun goreng, tetapi berwarna putih (tidak menggunakan cili langsung untuk menumis).  Menu ini adalah sangat ringkas tetapi amat sedap rasanya.  Mari kita lihat resepinya.

Bahan-bahan:
1 paket bihun (rendam sehingga lembut dan toskan airnya)
Beberapa sotong dipotong kecil
Beberapa udang dibuang kulitnya
Beberapa keping dada ayam dipotong kecil (boleh digantikan dengan daging)
1/2 batang lobak merah dipotong kecil
Sedikit kobis dipotong kecil
Sedikit air
Minyak masak
Garam secukup rasa

Bahan tumis (perlu ditumbuk semuanya):
Bawang putih
Lada putih
Udang kering (disangai terlebih dahulu)

Bahan hiasan:
Telur dadar dipotong panjang
Lada merah (dibuang biji dan mayang halus)
Daun ketumbar (dipotong kecil)

Cara-caranya:
1.  Panaskan minyak.  Setelah itu, tumiskan bahan-bahan yang telah ditumbuk.  Gaul rata hingga naik bau wanginya.
2.  Masukkan sotong, udang dan ayam/daging.  Kacau sehingga lembut.
3.  Masukkan kobis dan lobak merah.  Kacau sebati.
4.  Masukkan air dan biarkan sehingga sedikit mendidih.  Kacau sebati.
5.  Masukkan bihun dan kacau rata-rata.  Kacau sehingga bihun kelihatan lembut.
6.  Perasakan dengan garam.
7.  Siap untuk dihidang.  Taburkan bahan hiasan di atasnya.

Menu ini amat sesuai dihidangkan kepada anak-anak kecil yang tidak gemarkan makanan pedas.

Selamat mencuba!

Thursday, October 1, 2015

Konsep Bisnes Secara Dropship

ENTRI 27

Teks:  Rahiza Haszian binti Abdul Rahim
Gambar:  Google



Semakin hari, semakin ramai yang ingin menceburi bidang perniagaan, untuk menambah sumber pendapatan dan meningkatkan taraf hidup.  Apabila disebut berniaga, akan tergambar cara perniagaan konservatif yang selalu dilihat sebelum ini:  Kedai, simpanan stok, urusniaga keluar masuk, urusan penghantaran dan bermacam lagi ciri-ciri lain.  

Walau bagaimanapun, satu persoalan lain akan timbul, iaitu modal.  Di mana perlu diambil modal yang banyak bagi menanggung sewa kedai, pengambilan stok, kos minyak kenderaan dan bermacam lagi kos lain?  

Bagi yang baru mahu cuba-cuba berniaga, pastinya perkara ini agak menakutkan.  Namun tahukah anda bahawa sebenarnya anda boleh memulakan perniagaan tanpa mengeluarkan sesen pun duit modal?  Apa yang perlu ialah komitmen dan kesungguhan anda dalam mempromosi produk tersebut sama ada secara online ataupun offline.  

Konsep bisnes tanpa modal tersebut dikenali sebagai 'dropship'.  Secara ringkasnya, terdapat 3 watak utama dalam sebuah bisnes dropship, iaitu penjual, pembeli dan pembekal.  Rujuk rajah di atas bagi mendapatkan gambaran tersebut dan perhatikan senarai yang saya kongsikan di bawah.

1.  Pembekal menyediakan produk dan bahan promosi.
2.  Penjual mengiklankan produk tersebut secara offline, ataupun secara online iaitu di media sosial seperti FB, Instagram, Whatsapp, Telegram, Twitter, Wechat, Blog dan lain-lain lagi.
3.  Pembeli berminat untuk membeli dan menghubungi penjual.
4.  Berlaku transaksi perniagaan antara penjual dan pembeli.
5.  Setelah mendapat pengesahan pembayaran, penjual menghubungi pembekal untuk memesan produk dan sekaligus membuat pembayaran.
6.  Pembekal akan menguruskan pembungkusan dan penghantaran kepada pembeli.

Bagaimana penjual menjana pendapatan melalui bisnes dropship?
Adalah melalui komisyen yang diperolehi ketika pembeli membayar barangan tersebut.

Selalunya pembekal akan menetapkan harga kos yang perlu dibayar oleh penjual kepadanya untuk sesuatu barang.  Sesetengah pembekal membenarkan penjual meletakkan harga jualan yang bersesuaian.  Manakala ada sesetengah pembekal pula telah menetapkan harga jualan di pasaran. Komisyen diperolehi apabila setelah pembeli membayar harga jualan tersebut kepada penjual, penjual pula membayar harga kos sahaja kepada pembekal dan menyimpan wang komisyen untuk dirinya.

Contoh:
Harga pembekal = RM 80
Harga jualan  = RM 100
Komisyen diperolehi = RM 20

Justeru, penjual harus bijak memilih pembekal yang menawarkan produk yang mempunyai nilai komisyen yang tinggi.  

Ada sesetengah pembekal memerlukan yuran pendaftaran sebelum penjual boleh menjual produknya.  Ini sebagai wang jaminan komitmen kepada syarikat tersebut.  Namun lebih banyak lagi pembekal yang tidak menetapkan apa-apa syarat kepada penjual.

Latih diri anda dalam memulakan perniagaan secara dropship.  Apabila sudah terbiasa menguruskan perniagaan dropship dan sudah faham selok belok asas perniagaan, barulah boleh mengorak langkah lebih besar sedikit dengan menjadi stokis ataupun agen, dan belajar menguruskan stok pula.  Malah, anda juga boleh mengasaskan pasukan dropship anda sendiri.

Tidak semua bisnes dropship menawarkan kadar keuntungan yang tinggi. Namun begitu, jangan putus asa.  Sebaik-baiknya anda perlu menetapkan sasaran perniagaan setiap hari.

Contoh:
Komisyen bagi setiap produk = RM 3
Sasaran jualan sehari = 5
Jumlah komisyen diperolehi sehari = RM 3 X 5 = RM 15
Jumlah komisyen sebulan = RM 15 X 30 = RM 450

Nilai tersebut adalah cukup baik memandangkan anda tidak perlu mengeluarkan modal langsung.

Apa yang penting ialah komitmen dan semangat juang yang tinggi.  Pastinya harus diiringi dengan sentiasa berasa bersyukur di atas setiap rezeki yang telah ditetapkan olehNya.  
  
Bagaimana? Sudahkah anda faham apa itu konsep berniaga secara dropship?

Sudah faham? Tapi nak bisnes dropship apa ya?

Saya akan ceritakan tentang peluang perniagaan tersebut melalui Akademi Bekerja Dari Rumah dalam entri yang akan datang.

Monday, September 21, 2015

Demi Masa

ENTRI 26

Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar:  Google


Assalamualaikum,

Sudah lama rasanya saya tidak menulis di sini.  Pelbagai urusan seharian telah membuatkan saya terhimpit dek kekangan masa sepanjang tempoh ini.  Antaranya ialah perpindahan ke rumah baru, berpuasa dan berhari raya di persekitaran baru, menjaga anak saudara yang dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak keduanya (memasak makanan khas berpantang dan memandikan bayi), melayani cucu saudara sulong yang pelbagai keletahnya, menguruskan pelbagai perkara untuk pemergian bonda ke tanah suci Mekah, menghantar dan menjemput anak-anak ke sekolah dan pelbagai urusan hakiki rumah tangga yang lain.

Pengalaman menguruskan pelbagai perkara dalam masa yang sangat singkat benar-benar mengajar saya menghargai masa. Saya juga bersyukur kerana sepanjang tempoh itu Allah mengurniakan saya kesihatan yang baik untuk saya menguruskan dan membantu mereka yang saya sayang.

Dalam pada itu, masih sempat saya berniaga kecil-kecilan secara online.  Dari masa ke semasa, ada sahaja pelanggan yang bertanya tentang pelbagai produk, antaranya ialah Celebrity Lass, Radio Islamik Digital dan Kelas Online ABDR.

Di sini saya ingin berkongsi sedikit tips tentang pengurusan masa:
1.  Sebelum tidur, senaraikan perkara yang ingin dilakukan pada hari esok.

2.  Bangun awal pagi dan selesaikan urusan rumah tangga sebanyak mungkin di waktu pagi. Seeloknya di hujung minggu telah siap menyediakan bahan untuk memasak.  Ayam atau ikan telah dibahagi-bahagikan kepada pek-pek kecil.  Sayur juga telah disiap dicuci, dipotong dan disimpan dalam bekas kedap udara. Begitu juga dengan bawang-bawang dan lada yang telah siap dimesin.

3.  Rancang perjalanan sekiranya hendak keluar.  Contohnya, selepas menghantar anak ke sekolah pada pukul 12 tengahari, boleh singgah ke Poslaju untuk urusan penghantaran barang sebelum bergegas pula ke sekolah lain untuk menjemput anak yang bersekolah sesi pagi.  Dengan ini, anda akan menjimatkan masa dan minyak kenderaan anda.

4.  Peruntukkan masa di hujung minggu untuk menyelesaikan tugasan menggosok baju.  Ini bukan sahaja untuk menjimatkan masa, tetapi juga boleh menjimatkan tenaga elektrik.


Di dalam kesibukan kita menguruskan pelbagai hal rumah tangga, suka untuk saya mengingatkan diri sendiri dan juga rakan-rakan yang lain, jangan lupa untuk mengisi minda rohani kita.  Sentiasa curi masa untuk membaca AlQuran dan terjemahannya, dan perbanyakkan zikir dan amalan sunat yang lain.  Sesungguhnya itu akan memberi kita kekuatan fizikal dan mental serta menambah bekalan untuk kita ke sana.  Sangat rugi sekiranya kita terlalu sibuk dengan urusan dunia sehingga tidak sedar masa semakin lama semakin jauh meninggalkan kita.



Wednesday, May 13, 2015

Ebook Super WAHM Super MOM

ENTRI 25

Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar:  Akademi Bekerja Di Rumah




Seperti yang telah saya terangkan sebelum ini, sebelum mengambil keputusan untuk berhenti bekerja, cari ilmu dulu.  Sebagaimana fasa lain dalam kehidupan seperti berkahwin, mempunyai anak, mencari kerja dan lain-lain, adalah lebih selamat sekiranya kita ambil tahu perkara itu terlebih dahulu serba sedikit sebelum kita melaluinya sendiri.

Buku Super WAHM Super MOM ini amat saya cadangkan sebagai salah satu bahan bacaan bagi mencari ilmu tersebut.  Mari kita lihat beberapa petikan dari e-book tersebut.

"Tidak mempunyai majikan bukanlah bermakna saya tidak perlu berdisiplin. Tetapi bekerja sendiri memerlukan lebih disiplin daripada kerja-kerja lain yang ada, terutamanya bila kita memegang jawatan "SURIRUMAH SEPARUH MASA" dan "IBU SEPENUH MASA" dan "USAHAWAN"." - Norhanita Bahrom

Nah, bukankah seperti yang saya katakan sebelum ini.  Aspek disiplin itu amat penting sekiranya kita bercadang hendak menjadi suri yang bekerja di rumah.  Jika sebelum ini, sesetengah daripada kita mungkin bekerja sambil lewa.  Lebih-lebih lagi mungkin apabila bos sendiri tidak terlalu menitik beratkan hari akhir (dateline) tugasan.  Sekiranya anda menjadi seorang WAHM, sikap itu perlu dihapuskan.

Petikan kata-kata Puan Harlinda pula, "Bagi saya cabaran datang dari diri sendiri. Jika kita bijak mengurus masa dan berdisiplin, tiada masalah dan cabaran yang tak dapat diatasi. Tidak dinafikan bekerja di rumah sangat menuntut kesabaran dan kekuatan mental, fizikal dan jiwa yang kental. Ini kerana kita perlu menggalas tanggungjawab sebagai ibu dan memberi perhatian kepada anak-anak. Pada masa yang sama kita perlu FOKUS kepada perniagaan. Tetapi setiap cabaran tersebut boleh diatasi dengan syarat kita berdisiplin, sabar dan tidak merungut."

Pelbagai kisah dan pengalaman yang dikongsikan di dalam ebook penuh informasi ini akan memberikan inspirasi dan panduan kepada mereka yang mahu bergelar seorang WAHM.  

Dunia sekarang sudah tanpa sempadan.  Asalkan mempunyai kemudahan internet, semua wanita masih boleh terus mengecap kejayaan walaupun berpejabat di rumah.  Dalam masa yang sama, tugas hakiki dan kembali kepada fitrah seorang ibu dan isteri yang seharusnya berperanan menguruskan keluarga.  Ibu adalah guru pertama yang terbaik untuk anak-anak.  Menyedari hakikat ini dan berbekalkan ilmu yang dikutip, saya telah mengambil keputusan drastik.  Saya telah terlepas saat-saat berharga semasa kecil bersama anak sulung saya.  Saya perlu memastikan tidak akan terlepas lagi saat-saat itu.

Ebook ini boleh didapati dengan harga RM 25.00 sahaja.  Pembelian boleh dilakukan dengan mengisi borang tempahan di blog ini atau emel di rahizahaszian@gmail.com.

Thursday, April 23, 2015

Kembali ke dunia WAHM dan SOHO

ENTRI 24

Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar:  Google



Konsep bekerja dari rumah di Malaysia sudah mula diperkenalkan seawal tahun 2000. Saya turut sama menyertai golongan ini pada tahun 2002 selepas melahirkan anak pertama. Pengalaman tersebut telah diceritakan serba sedikit di sini.
Ketika itu, ramai orang yang pelik bila saya mengatakan saya menjalankan SoHo. Huh? Apa itu SoHo? Tidak terdapat mana-mana kumpulan sokongan SoHo di Malaysia. Lalu, untuk menambah jaringan saya telah menyertai USAHANITA. Saya berasa sangat kecil dan rendah diri kerana kebanyakan rakan-rakan mempunyai ruang perniagaan sendiri (kedai/restoren/butik/kilang dll), manakala saya hanya mempunyai ruang kerja yang kecil di bahagian garaj rumah ayah yang telah diubahsuai menjadi sebuah pejabat. Atas sebab-sebab tertentu, setelah hampir 7 tahun saya kembali ke dunia pekerjaan.
Kini, sekali lagi saya bergelar WAHM yang menjalankan SoHo. Namun situasi kali ini sangat berbeza. Sudah terdapat satu kumpulan jaringan yang aktif saling menyokong bagi suri bergelar WAHM. Saya bernasib baik apabila ketika sedang mencari hala tuju seterusnya, tiba-tiba pengasas ABDR ( Akademi Bekerja Dari Rumah) Puan Masayu Ahmad telah 'Add Friend' saya. Saya pun musykil bagaimana beliau menjumpai profil saya memandangkan profil saya bersifat peribadi (private). Namun kuasa Allah, bertemu juga dan Allah jua yang telah menggerakkan hati saya untuk 'Accept Request' daripadanya. Jarang saya berbuat demikian. Melaluinya, sedikit demi sedikit saya mengumpul maklumat tentang ABDR.
Apakah itu ABDR?
Akademi Bekerja di rumah (ABDR) ialah
> kumpulan sokongan khas untuk suri belajar asas bisnes di atas talian
> kumpulan sokongan khas untuk suri belajar menjana pendapatan hanya dari rumah
> kumpulan sokongan khas untuk suri bekerjaya menjana pendapatan secara sampingan
> kumpulan sokongan untuk mereka bergelar wahm
> platform untuk belajar berbisnes produk fizikal secara dropship dan produk digital ebook dan servis.
Saya telah mendaftar secara rasminya dengan ABDR dengan mengikuti sebuah kelas online yang ditawarkannya di bawah kendalian Cikgu Anys Idayu Zakaria
Saya akan menerangkan lebih lanjut tentang ABDR dalam entri seterusnya.

Aku, Dia & Rezeki

ENTRI 23

Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar:  Koleksi peribadi


Saya khatam membaca buku ini malam tadi. Dalam kesibukan harian, saya masih memastikan sekurang-kurangnya dapat menghabiskan satu buku dalam masa seminggu.
Buku ini sebenarnya merupakan himpunan pengalaman seorang penjual dadih yang ditulisnya sendiri. Walaupun menggunakan bahasa santai, susunannya sangat teratur. Apa yang menarik, dalam setiap peristiwa yang beliau lalui, dia akan menemukan hikmah dan pengajaran di sebaliknya.
Saya terpana membaca satu kisah di sebalik musibah. Seorang Tuan Haji telah kehilangan kasutnya di masjid lalu penulis menemuinya sedang menunggang motosikal dengan berkaki ayam. Pastinya kasut itu sangat berharga kerana merupakan hadiah daripada anaknya yang dibeli di luar negara. Namun Tuan Haji berkata, "Kalau kita redha, Allah akan tambah pahala." Allahu... teringat peristiwa diragut minggu lepas. Adakah saya redha? Di tahap manakah keimanan saya? Ada bermacam lagi kisah yang akan membuatkan kita berfikir dan terus berfikir. 
Rakan-rakan yang berminat untuk mendapatkan buku ini boleh berhubung terus dengan penulisnya Abang Long
P/S: Saya tidak diminta pun membuat ulasan ini tetapi catitan ini lahir ikhlas dari hati dan pemerhatian saya. Di saat pasaran buku dilambakkan dengan novel cinta (saya tak kata semua novel cinta itu tidak berkualiti), kita perlu memilih bahan bacaan yang memberi manfaat dan tambah nilai dalam hidup kita. Wallahualam.