Tuesday, October 6, 2015

Resepi Brownies Mudah dan Sedap

ENTRI 29

Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar:  Koleksi peribadi



Sudah beberapa kali saya terlihat rakan-rakan memuatnaik gambar pelbagai jenis brownies di laman Facebook dan Instagram.  Ada yang pergi belajar membuatnya dan ada juga yang berniaga.  Saya sendiri teringin nak membuat sendiri brownies.  Pernah sekali saya mencuba, tetapi hasilnya tidak seberapa.  Mungkin kerana saiz loyang yang terlalu besar menjadikan brownies saya tidak 'naik'.

Namun saya tidak berputus asa.  Kali ini, saya mencuba resepi baru yang diberi oleh rakan baik saya dari Kota Bharu.  Resepinya sangat mudah, dan bahan-bahannya semua mudah didapati.  Lebih menyenangkan lagi, saya tidak perlu menggunakan pengadun elektrik untuk membancuh bahan.  Cukup dengan menggaul menggunakan spatula.

Mari kita semak resepinya.

Fuss Free Brownies

1 cawan mentega atau minyak sayuran
2 cawan gula perang
1/2 cawan serbuk koko
1 sudu teh esen vanila
4 biji telur sederhana besar
1 cawan tepug gandum
1/2 sudu teh serbuk penaik
1/2 sudu teh garam
1/2 cawan badam yang dihiris

Cara-caranya:
1.  Cairkan mentega dan sejukkan ke suhu bilik.  Boleh juga digantikan dengan minyak sayuran (saya gunakan jenama Naturel)
2)  Campurkan mentega/minyak tersebut dengan kesemua bahan di atas.  Gaul rata sehingga nampak berkilat dan terdapat buih-buih kecil (bubbles)
3)  Sapukan mentega di atas loyang bersaiz 9X9.
4)  Masukkan bancuhan tadi.
5)  Bakar di dalam oven selama 25 minit pada suhu 180C

Enak dihidang untuk minuman petang bersama secawan teh panas.

Selamat mencuba!

Resepi Bihun Singapore

ENTRI 28


Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar:   Koleksi peribadi



Beberapa hari yang lepas, saya tiba-tiba teringin untuk menyediakan Bihun Singapore untuk sarapan.  Saya pun kurang pasti kenapa ia diberikan nama Bihun Singapore.  Sebenarnya ia cumalah bihun goreng, tetapi berwarna putih (tidak menggunakan cili langsung untuk menumis).  Menu ini adalah sangat ringkas tetapi amat sedap rasanya.  Mari kita lihat resepinya.

Bahan-bahan:
1 paket bihun (rendam sehingga lembut dan toskan airnya)
Beberapa sotong dipotong kecil
Beberapa udang dibuang kulitnya
Beberapa keping dada ayam dipotong kecil (boleh digantikan dengan daging)
1/2 batang lobak merah dipotong kecil
Sedikit kobis dipotong kecil
Sedikit air
Minyak masak
Garam secukup rasa

Bahan tumis (perlu ditumbuk semuanya):
Bawang putih
Lada putih
Udang kering (disangai terlebih dahulu)

Bahan hiasan:
Telur dadar dipotong panjang
Lada merah (dibuang biji dan mayang halus)
Daun ketumbar (dipotong kecil)

Cara-caranya:
1.  Panaskan minyak.  Setelah itu, tumiskan bahan-bahan yang telah ditumbuk.  Gaul rata hingga naik bau wanginya.
2.  Masukkan sotong, udang dan ayam/daging.  Kacau sehingga lembut.
3.  Masukkan kobis dan lobak merah.  Kacau sebati.
4.  Masukkan air dan biarkan sehingga sedikit mendidih.  Kacau sebati.
5.  Masukkan bihun dan kacau rata-rata.  Kacau sehingga bihun kelihatan lembut.
6.  Perasakan dengan garam.
7.  Siap untuk dihidang.  Taburkan bahan hiasan di atasnya.

Menu ini amat sesuai dihidangkan kepada anak-anak kecil yang tidak gemarkan makanan pedas.

Selamat mencuba!

Thursday, October 1, 2015

Konsep Bisnes Secara Dropship

ENTRI 27

Teks:  Rahiza Haszian binti Abdul Rahim
Gambar:  Google



Semakin hari, semakin ramai yang ingin menceburi bidang perniagaan, untuk menambah sumber pendapatan dan meningkatkan taraf hidup.  Apabila disebut berniaga, akan tergambar cara perniagaan konservatif yang selalu dilihat sebelum ini:  Kedai, simpanan stok, urusniaga keluar masuk, urusan penghantaran dan bermacam lagi ciri-ciri lain.  

Walau bagaimanapun, satu persoalan lain akan timbul, iaitu modal.  Di mana perlu diambil modal yang banyak bagi menanggung sewa kedai, pengambilan stok, kos minyak kenderaan dan bermacam lagi kos lain?  

Bagi yang baru mahu cuba-cuba berniaga, pastinya perkara ini agak menakutkan.  Namun tahukah anda bahawa sebenarnya anda boleh memulakan perniagaan tanpa mengeluarkan sesen pun duit modal?  Apa yang perlu ialah komitmen dan kesungguhan anda dalam mempromosi produk tersebut sama ada secara online ataupun offline.  

Konsep bisnes tanpa modal tersebut dikenali sebagai 'dropship'.  Secara ringkasnya, terdapat 3 watak utama dalam sebuah bisnes dropship, iaitu penjual, pembeli dan pembekal.  Rujuk rajah di atas bagi mendapatkan gambaran tersebut dan perhatikan senarai yang saya kongsikan di bawah.

1.  Pembekal menyediakan produk dan bahan promosi.
2.  Penjual mengiklankan produk tersebut secara offline, ataupun secara online iaitu di media sosial seperti FB, Instagram, Whatsapp, Telegram, Twitter, Wechat, Blog dan lain-lain lagi.
3.  Pembeli berminat untuk membeli dan menghubungi penjual.
4.  Berlaku transaksi perniagaan antara penjual dan pembeli.
5.  Setelah mendapat pengesahan pembayaran, penjual menghubungi pembekal untuk memesan produk dan sekaligus membuat pembayaran.
6.  Pembekal akan menguruskan pembungkusan dan penghantaran kepada pembeli.

Bagaimana penjual menjana pendapatan melalui bisnes dropship?
Adalah melalui komisyen yang diperolehi ketika pembeli membayar barangan tersebut.

Selalunya pembekal akan menetapkan harga kos yang perlu dibayar oleh penjual kepadanya untuk sesuatu barang.  Sesetengah pembekal membenarkan penjual meletakkan harga jualan yang bersesuaian.  Manakala ada sesetengah pembekal pula telah menetapkan harga jualan di pasaran. Komisyen diperolehi apabila setelah pembeli membayar harga jualan tersebut kepada penjual, penjual pula membayar harga kos sahaja kepada pembekal dan menyimpan wang komisyen untuk dirinya.

Contoh:
Harga pembekal = RM 80
Harga jualan  = RM 100
Komisyen diperolehi = RM 20

Justeru, penjual harus bijak memilih pembekal yang menawarkan produk yang mempunyai nilai komisyen yang tinggi.  

Ada sesetengah pembekal memerlukan yuran pendaftaran sebelum penjual boleh menjual produknya.  Ini sebagai wang jaminan komitmen kepada syarikat tersebut.  Namun lebih banyak lagi pembekal yang tidak menetapkan apa-apa syarat kepada penjual.

Latih diri anda dalam memulakan perniagaan secara dropship.  Apabila sudah terbiasa menguruskan perniagaan dropship dan sudah faham selok belok asas perniagaan, barulah boleh mengorak langkah lebih besar sedikit dengan menjadi stokis ataupun agen, dan belajar menguruskan stok pula.  Malah, anda juga boleh mengasaskan pasukan dropship anda sendiri.

Tidak semua bisnes dropship menawarkan kadar keuntungan yang tinggi. Namun begitu, jangan putus asa.  Sebaik-baiknya anda perlu menetapkan sasaran perniagaan setiap hari.

Contoh:
Komisyen bagi setiap produk = RM 3
Sasaran jualan sehari = 5
Jumlah komisyen diperolehi sehari = RM 3 X 5 = RM 15
Jumlah komisyen sebulan = RM 15 X 30 = RM 450

Nilai tersebut adalah cukup baik memandangkan anda tidak perlu mengeluarkan modal langsung.

Apa yang penting ialah komitmen dan semangat juang yang tinggi.  Pastinya harus diiringi dengan sentiasa berasa bersyukur di atas setiap rezeki yang telah ditetapkan olehNya.  
  
Bagaimana? Sudahkah anda faham apa itu konsep berniaga secara dropship?

Sudah faham? Tapi nak bisnes dropship apa ya?

Saya akan ceritakan tentang peluang perniagaan tersebut melalui Akademi Bekerja Dari Rumah dalam entri yang akan datang.