Monday, September 21, 2015

Demi Masa

ENTRI 26

Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar:  Google


Assalamualaikum,

Sudah lama rasanya saya tidak menulis di sini.  Pelbagai urusan seharian telah membuatkan saya terhimpit dek kekangan masa sepanjang tempoh ini.  Antaranya ialah perpindahan ke rumah baru, berpuasa dan berhari raya di persekitaran baru, menjaga anak saudara yang dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak keduanya (memasak makanan khas berpantang dan memandikan bayi), melayani cucu saudara sulong yang pelbagai keletahnya, menguruskan pelbagai perkara untuk pemergian bonda ke tanah suci Mekah, menghantar dan menjemput anak-anak ke sekolah dan pelbagai urusan hakiki rumah tangga yang lain.

Pengalaman menguruskan pelbagai perkara dalam masa yang sangat singkat benar-benar mengajar saya menghargai masa. Saya juga bersyukur kerana sepanjang tempoh itu Allah mengurniakan saya kesihatan yang baik untuk saya menguruskan dan membantu mereka yang saya sayang.

Dalam pada itu, masih sempat saya berniaga kecil-kecilan secara online.  Dari masa ke semasa, ada sahaja pelanggan yang bertanya tentang pelbagai produk, antaranya ialah Celebrity Lass, Radio Islamik Digital dan Kelas Online ABDR.

Di sini saya ingin berkongsi sedikit tips tentang pengurusan masa:
1.  Sebelum tidur, senaraikan perkara yang ingin dilakukan pada hari esok.

2.  Bangun awal pagi dan selesaikan urusan rumah tangga sebanyak mungkin di waktu pagi. Seeloknya di hujung minggu telah siap menyediakan bahan untuk memasak.  Ayam atau ikan telah dibahagi-bahagikan kepada pek-pek kecil.  Sayur juga telah disiap dicuci, dipotong dan disimpan dalam bekas kedap udara. Begitu juga dengan bawang-bawang dan lada yang telah siap dimesin.

3.  Rancang perjalanan sekiranya hendak keluar.  Contohnya, selepas menghantar anak ke sekolah pada pukul 12 tengahari, boleh singgah ke Poslaju untuk urusan penghantaran barang sebelum bergegas pula ke sekolah lain untuk menjemput anak yang bersekolah sesi pagi.  Dengan ini, anda akan menjimatkan masa dan minyak kenderaan anda.

4.  Peruntukkan masa di hujung minggu untuk menyelesaikan tugasan menggosok baju.  Ini bukan sahaja untuk menjimatkan masa, tetapi juga boleh menjimatkan tenaga elektrik.


Di dalam kesibukan kita menguruskan pelbagai hal rumah tangga, suka untuk saya mengingatkan diri sendiri dan juga rakan-rakan yang lain, jangan lupa untuk mengisi minda rohani kita.  Sentiasa curi masa untuk membaca AlQuran dan terjemahannya, dan perbanyakkan zikir dan amalan sunat yang lain.  Sesungguhnya itu akan memberi kita kekuatan fizikal dan mental serta menambah bekalan untuk kita ke sana.  Sangat rugi sekiranya kita terlalu sibuk dengan urusan dunia sehingga tidak sedar masa semakin lama semakin jauh meninggalkan kita.