Saturday, January 31, 2015

Apa yang Anda Akan Dapat Apabila Membeli Radio Digital Islamik

Entri 11
Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar:  Koleksi peribadi


1. Radio dengan seleksi digital pemain muzik atau radio FM
2. Charger
3. Kabel USB
4. Bateri 5C Li-Ion
5. Kad memori Micro SD 8GB

Istimewanya kad memori telah dilengkapi hampir 500 fail berformat MP3 terdiri daripada ayat suci AlQuran, ceramah agama, azan, zikir dan doa mustajab. Anda hanya perlu menekan digit kod yang hendak dimainkan dan mula mendengar. Saiznya juga kecil, hanya 11.5cm lebar X 7cm tinggi.  Mudah dibawa ke mana-mana dan disimpan di dalam poket.

 
PM/SMS/Whatsapp 012-7381175.

Friday, January 30, 2015

Sayang Neksu Dah Setahun

Entri 10
Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar:  Koleksi peribadi


Assalamualaikum,

Saya merupakan anak bongsu daripada dua orang adik beradik.  Jarak umur antara saya dengan abang agak jauh, iaitu 9 tahun.  Abang pula berkahwin awal, iaitu ketika dia berusia 22 tahun.  Setahun kemudian, mereka dianugerahkan anak sulong iaitu seorang puteri.  Maka, jarak antara saya dan  anak saudara sulung saya cuma 13 tahun.  Ini menjadikan kami sangat rapat, seolah-olah seperti hubungan adik dan kakak lagaknya.  Lebih-lebih lagi apabila iras wajahnya saling tidak tumpah seperti saya.  Oleh kerana rapatnya ikatan kami, kebanyakan urusan majlis pertunangan dan perkahwinannya telah saya uruskan.

Apabila dia melahirkan anak sulongnya tahun lepas, saya adalah antara insan yang paling gembira.  Manakan tidak, dalam usia 39 tahun, saya sudah bergelar Neksu.  Sepanjang tempoh berpantang, sayalah yang telah menjaga makan pakai mereka berdua.  Daripada menyediakan air mandi ibu dan anak, memandikan bayi, memakaikan bengkung sehinggalah menyediakan makanan ketika dalam pantang.  Terasa pantas sungguh masa berlalu.  Kini, pada 30 Januari 2015, Muhammad Aryan Saifullah telah pun genap berusia satu tahun.  Sudah mempunyai gigi yang agak banyak, dan mulutnya sudah agak bising (macam ibunya!)  Walaupun agak lambat progresnya kerana masih belum boleh berjalan tegap, tapi tak mengapa.  Setiap bayi ada fasa membesarnya yang tersendiri.  Sebagai seorang ibu dan bapa, hargailah setiap detik perkembangan si anak.  Kalau boleh seperti mahu dirakamkan di kotak minda sebagaimana seperti rakaman video.

Si comel Neksu, jangan cepat sangat besar ok.  Neksu rindu dan sayang kamu wahai Aryan Saifullah!

Resepi Mee Sup Ekspres Yang Sempoi

Entri 9
Teks: Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar: Koleksi peribadi


Setiap pagi, otak ligat memikirkan apakah sarapan yang sesuai disediakan untuk santapan seisi keluarga.  Memandangkan hari ini hari Jumaat (negeri Johor bercuti), kedua-dua anak tidak bersekolah.  Jadi, bolehlah menyediakan menu yang berat sedikit. Lihat-lihat peti sejuk, memerhati apa bahan yang ada.  Timbul idea untuk menyediakan mee ekspres sempoi yang sangat digemari aruah ayah dahulu.  Dia sering menyediakannya apabila saya demam.  Dimakan begitu sahaja bersama sos, atau boleh juga dijadikan lauk dengan nasi.  Pelik? Tapi memang sedap.  Cubalah.

Bahan-bahannya adalah:
500gm mee kuning
3 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
5 cm halia
* bawang merah, bawang putih dan halia dimayang halus
sedikit daging ayam (dibuang tulang, ambil isi sahaja dan digaul dengan sedikit garam)
sedikit sotong atau udang (sekiranya suka)
sedikit sayur sawi (dipotong kasar)
2 biji telur ayam
Lada merah & lada hijau (dihiris sebagai hiasan)
Kiub ayam
Garam
Minyak
Air

Cara-caranya:
1.  Cuci mee kuning di bawah aliran air dan toskan (untuk buang rasa kapur).  Boleh juga gunakan spaghetti jika suka.
2.  Panaskan sedikit minyak.  Tumiskan bahan-bahan yang telah dimayang.
3.  Setelah naik bau, masukkan daging ayam dan sotong/udang dan kacau rata.
4.  Setelah air ayam dan air sotong/udang keluarkan sedikit, tambahkan air sebanyak mana kuah yang dikehendaki.
5.  Masukkan sayur sawi, kiub ayam dan biarkan kuah mendidih.
6.  Setelah mendidih, pecahkan telur ayam.  Biarkan sebentar menggunakan api besar. Perisakan dengan garam sekiranya perlu.
7.  Tuangkan di atas mee kuning yang telah diletakkan di dalam pinggan.  Hidangkan.

* Lebih enak dimakan bersama sos cili.

Selamat mencuba!

Thursday, January 29, 2015

Radio Digital Islamik

Entri 8
Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar: Koleksi Peribadi



RADIO DIGITAL ISLAMIK
- mengandungi 2150 item

- bacaan lengkap AlQuran 114 surah
- tafsir lengkap 114 surah
- lebih daripada 1100 ceramah agama meliputi pelbagai topik
- lebih daripada 100 dendangan lagu nasyid
- laungan azan dari Mekah, Madinah dan Malaysia
- lebih daripada 60 alunan zikir dan doa mustajab
- lebih daripada 40 panduan ibadah haji dan umrah
- lebih daripada 95 ulasan hadis
- lebih daripada 90 kupasan solat solat

- ayat ruqyah
* menggunakan bateri Li-Ion
* boleh cas seperti handphone
* boleh dengar menggunakan earphone
* boleh loop, forward dan rewind
* hanya masukkan kod yang dihendaki dan mula mendengar

KEISTIMEWAAN RADIO :
* Mudah didengar... dengan hanya memilih dari menu pilihan mengikut buku panduan yang disertakan. 
* Hanya masukkan kod yang dihendaki dan mula mendengar
* Istimewanya kad memori telah dilengkapi 2,150  fail berformat MP3 
* Anda hanya perlu menekan digit kod yang hendak dimainkan dan mula mendengar. 
* Saiz kecil (11.5cm lebar X 7cm tinggi dengan berat HANYA 212gm).  

* Mudah dibawa ke mana-mana dan disimpan di dalam poket (Poket Size)
* Boleh dijadikan sebagai hadiah / cenderahati kepada rakan-rakan, ibu bapa, suami isteri, anak-anak atau saudara mara tanpa mengira peringkat umur.
* Boleh dijadikan sebagai hadiah hantaran perkahwinan untuk pasangan.

APA YANG AKAN ANDA DAPAT DENGAN PAKEJ RADIO DIGITAL ISLAMIK
1. Buku Panduan Kod Nombor Menu Pilihan 
2. Radio dengan seleksi digital pemain muzik atau radio FM
3. Kad memori 16 GB yang telah dilengkapi 2,150  fail berformat MP3
4. Adaptor Charger
5. Kabel USB 3.5 mm
6. Bateri 5C Li-Ion

FUNGSI-FUNGSI LAIN :
+ FM radio (8.75 ~ 108MHz
+ Auto search program
+ Auto save channel
+ Memory play by interrupt stacking
+ Digital remotemusic play
+ TF disk play & MMC MS
+ Computer player output

SPESIFIKASI :
- Power output : 3W (RMS)
- Therefore : 100 Hz ~ 20KHz
- S/H Ratio : 85 dB
- Impedance : 4 Ohm
- Power : DC 5V

BUATAN RADIO :
- China Gred A (warna merah)

JAMINAN PRODUK :
- 30 hari daripada tarikh pembelian.

HARGA :
- RM 200 (SM) / RM 220 (SS)
- Kos penghantaran PERCUMA


# SMS/Whatsapp/Telegram 012-7381175 atau emel rahizahaszian@gmail.com atau isi borang tempahan untuk pesanan

Jom dengar dan amal!

Doa Pelembut Hati

Entri 7
Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar:  Google

Assalamualaikum,

Dalam entri saya yang pertama, saya ada bercerita tentang perubahan tingkah laku anak sulung saya pada tahun lepas.  Dia menjadi sangat keras hati dan pemarah. Perubahan kelakuannya yang berlaku secara tiba-tiba sangat memeningkan kepala. Pelbagai cara saya dan suami lakukan termasuk rawatan secara Islam dan juga rawatan psikologi, namun masih menemui jalan buntu. 

Air mata menjadi peneman setia saya, sehingga saya akhirnya perlu mengambil cuti tanpa gaji selama sebulan bagi menumpukan perhatian kepadanya.  Walau bagaimanapun, dia masih tidak berubah.  Malahan menjadi semakin agresif.

Namun saya bersyukur di atas ujian yang diberikan oleh Allah. Saya belajar konsep pasrah dan redha.  Saya kembali mencari agama. Saya bangun bersolat malam (yang amat jarang dilakukan sebelum ini).  Solat taubat, solat hajat, solat tahajud dan solat witir menjadi sahabat baik saya.  Saya juga mencari ilmu bagaimana untuk menggunakan ayat Al-Quran bagi melembutkan hatinya.  Ustaz terakhir yang kami jumpa iaitu Ustaz Razak menyatakan kuncinya ada pada saya, selaku ibunya. 

Justeru saya terus membuat kajian atas talian dan ayat yang paling kerap saya jumpa ialah Surah Taha (ayat 1-6) yang amat berkesan untuk melembutkan hati.  Sebenarnya ayat itulah yang telah dibaca oleh adik Saidina Umar r.a. yang telah terus mencairkan hati beliau dan membatalkan niatnya untuk memukul adiknya.  Rentetan itu beliau telah terus memeluk agama Islam dan menjadi salah seorang sahabat Baginda Rasulullah.



Saya amalkan membaca surah ini dan niatkan untuknya.  Setiap kali memasak, saya juga membacakan surah ini. Dan setiap kali saya menghidangkan makanan untuknya, saya akan membaca ayat ini dan meniupkannya pada air minumannya. Setiap malam ketika dia sedang tidur, saya pegang dadanya dan membacakan ayat ini lalu kemudiannya ditiupkan pada ubun-ubunnya.  Saya lakukan semua ini tanpa jemu sehinggalah hari ini.  Alhamdulillah atas izinNya, hatinya semakin lembut.  Dia sudah boleh bergurau senda semula, dan senyumannya semakin manis dari hari ke hari.  Alhamdulillah...syukur ya Allah. :)

Wednesday, January 28, 2015

Resepi Minang Ayam Masak Kalio

Entri 6
Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar:  Koleksi Peribadi


Assalamualaikum,

Hari ini saya nak kongsi satu lagi resepi mudah warisan daripada aruah nenek saya sebelah ibu.  Ringkasnya, ini ialah resepi Minang.  Sangat sedap dimakan dengan nasi panas, boleh juga dimakan bersama roti putih. Kalau dibiarkan semalaman dan disimpan di peti sejuk, esoknya hangatkan semula dengan api kecil.  Perkhhh. Memang terangkat! :)

Bahan-bahannya adalah:

Bahan A
5 biji bawang merah
2 biji bawang putih
5 cm halia
2 batang serai

Bahan B
10 cm lengkuas (diketuk)
1 batang serai (diketuk dan dipotong 2)
daun kunyit atau daun limau purut (dicarik-carik)

Bahan C
10 batang lada kering (dipotong, dibuang biji dan direbus hingga lembut)
5 batang lada merah

1 ekor ayam (dipotong kecil mengikut selera keluarga)
Santan daripada 1 biji kelapa
Minyak masak
Garam


Cara memasak:
1.  Mayang bahan A kecil-kecil dan kisar sehingga hancur kasar-kasar.
2.  Kisar bahan C sehingga halus
3.  Panaskan sedikit minyak masak.  Gunakan api sederhana besar.
4.  Bila minyak panas, tumiskan bahan A sehingga naik bau.
5.  Masukkan bahan B dan kacau sebentar.
6.  Masukkan bahan C.  Kacau sebentar dan tunggu sehingga pecah minyak.
7.  Masukkan ayam yang telah dicuci bersih.  Gaul rata dan biarkan sebentar.
8.  Apabila ayam dan rempah telah mesra, masukkan santan.  Kacau sekali-sekala sehingga ayam empuk.
9.  Sekiranya suka 'gravy' yang pekat, bolehlah masak sehingga kuah agak pekat. Gunakan api yang kecil.
10.  Perisakan dengan garam.  Gaul rata, dan matikan api.  Bolehlah dihidangkan dengan nasi panas.

Yummyyyyy

Selamat mencuba!

Nasi Mandy Ayam / Kambing AlBayt

Entri 5
Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim


Set Nasi Mandy Kambing dan Ayam (RM 15 sekotak)
2 kotak mandy kambing 
2 kotak mandy ayam
RM 60 + RM10 kos penghantaran
RM70 harga termasuk pos penghantaran 


Suka makan nasi mandy? Tapi rasa macam susah nak buat kan? Kini tak lagi...dengan Nasi Mandy Al Bayt, penyediannya sangat mudah. Setiap set mengandungi Beras Basmathi, Rempah Serbuk & Rempah Tumis. Rasanya pun mabeles...sejibik macam yg makan kat kedai arab. Kalau kat kedai, satu kepala dah RM8-9 ringgit, tapi dengan hanya satu kotak ni, dah leh cover untuk makan satu family sehingga 5 orang!

Jom beli...masak sendiri lebih jimat dan lebih terjamin kebersihannya. Jom order...isi je pada tab Borang Tempahan atau email saya di rahizahaszian@gmail.com

Monday, January 26, 2015

Resepi Ayam Masak Blackpepper Kawkaw

Entri 4
Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar:  Koleksi Peribadi

 



Assalamualaikum,

Hari ini saya ingin berkongsi satu resepi yang sangat mudah, cepat dimasak, namun sangat menyelerakan terutamanya pada kanak-kanak, iaitu Ayam Masak Blackpepper.

Bahan-bahannya mudah sahaja iaitu:

3 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
5cm halia
(ketiga-tiga ini dimayang halus)
sedikit air masak
sos lada hitam
serbuk lada hitam
sebiji tomato
500gm ayam
1 sudu besar tepung jagung (dibancuh dengan sedikit air)

Cara-caranya:
1.  Goreng ayam yang telah diperap dengan kunyit dan garam separuh masak.  Ketepikan.
2.  Tinggalkan sedikit minyak yang digoreng dan tumiskan bawang merah, putih dan halia sehingga wangi.
3.  Masukkan sedikit sos lada hitam dan air masak.  Biarkan sebentar hingga sedikit mendidih.
4.  Masukkan air tepung jagung.  Kuah akan berubah menjadi sedikit pekat.
5.  Masukkan ayam yang telah separuh masak.  Kacau seketika dan biarkan sehingga ayam masak sepenuhnya.
6.  Masukkan tomato dan sedikit serbuk lada hitam.  Kacau seminit sahaja kerana mahukan tekstur tomato yang rangup.
7.  Matikan api.  Siap untuk dihidang bersama nasi panas.

Selamat mencuba!

Sunday, January 25, 2015

Komunikasi Dengan Staf

Entri 3
Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim
Gambar:  Koleksi peribadi



Assalamualaikum,

Pengalaman sepanjang 5 tahun 7 bulan bekerja di UTMSPACE banyak memberi pengajaran kepada saya. Pada awal kemasukan, saya telah dilantik sebagai pegawai sehinggalah jawatan akhir saya sebagai seorang Pengurus.  Ini bermaksud sepanjang tempoh tersebut, saya sentiasa mempunyai staf bawahan yang perlu dipantau.  Daripada 2 orang, sehinggalah kepada 10 orang di bawah satu Unit.

Pada mulanya agak kekok untuk memberi arahan atau memantau tugasan.  Tetapi bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa.  Namun pada pengalaman saya, ada beberapa tip yang perlu diamalkan bagi memastikan komunikasi antara pegawai atasan dan staf bawahan sentiasa berada dalam keadaan baik.

1. Sifat berterus terang
Saya mengamalkan sikap berterus terang dengan staf.  Sekiranya saya perlu menegur mereka, saya akan melakukannya secara telus.  Tidak ada sikap berselindung. Yang penting mereka faham akan kesalahan mereka dan perlu membaikinya.

2. Anggap staf sebagai sahabat
Saya selalu menegaskan kepada staf bahawa walaupun mereka adalah orang bawahan saya, saya juga adalah sahabat mereka, atau boleh dianggap sebagai kakak sulung.  Justeru, mereka boleh datang kepada saya sekiranya mempunyai masalah, sama ada dari segi kerja ataupun bersifat peribadi. Ambil tahu tentang maklumat peribadi staf seperti nama pasangan dan anak-anak, makanan kegemaran mahupun hobi mereka.  Berdasarkan pengalaman saya, ini akan menjadikan staf berasa lebih dekat dengan ketua dan tidak akan malu atau ragu untuk berkongsi masalah ataupun kegembiraan mereka. Sejujurnya, sekali kita sayang staf, staf akan 2,3 kali lebih sayang kepada ketua.

3. 'Empowerment' atau memperkasakan keupayaan staf
Apabila ketua telah memberi kuasa kepada staf untuk bertanggungjawab atas sesuatu, maka apa yang perlu dilakukan ialah berdiam diri dan memantau.  Sekiranya terdapat kepincangan, barulah ditegur secara berhemah.  Ada sesetengah ketua terlalu bersifat mengawal.  Semua perkara waima sekecil-kecil isu perlu melaluinya.  Adalah lebih baik untuk memberi kebebasan kepada staf bawahan untuk melaksanakan tugasan.  Ketika itu, barulah proses pembelajaran akan berlaku dan staf akan mempunyai lebih pengalaman. Yang penting adalah hasil akhir atau 'final result' yang bagus.

4.  Ketua tidak sentiasa betul
Sesetengah ketua tidak boleh menerima teguran daripada staf walaupun ternyata keputusan atau perkara yang dilakukan adalah salah.  Saya berpendapat ini akan melemahkan sesuatu organisasi.  Walaupun ketua berada di posisi pengurusan yang mengawal, namun staf yang berada di peringkat operasilah yang lebih tahu tentang permasalahan atau kelebihan setiap tindakan.  Justeru, ada kalanya ketua perlu menerima teguran dan pendapat daripada pihak bawahan.

5.  Contoh yang baik
Setiap ketua perlu menunjukkan contoh yang baik kepada staf daripada semua segi, seperti disiplin, pengurusan masa, cara kerja dan sebagainya.  Agak tidak kena sekiranya seorang ketua acapkali datang lewat tetapi perlu pula menasihati stafnya yang juga mempunyai masalah menepati masa.  Kepimpinan melalui teladan harus ditunjukkan pada setiap masa.

6.  Beri peluang kepada staf
Ketua tidak perlu menganggap staf sebagai pesaing.  Ada sesetengah ketua yang mengambil hasil kerja staf dan diletakkan atas namanya bagi tujuan pembentangan kepada pihak pengurusan tertinggi.  Kredit perlu diberikan kepada staf tersebut kerana dia berhak mendapat pengiktirafan tersebut.

7.  Susah dan senang bersama
Sesetengah ketua hanya tahu mengarah, namun tidak sanggup sama-sama berusaha atau menolong staf sekiranya perlu.  Saya dapati ini hanya akan menjurangkan hubungan kerja.  Contohnya sekiranya ketua mengarahkan staf bawahan untuk kerja lebih masa pada hujung minggu bagi menyiapkan tugasan, adalah lebih baik sekiranya ketua tersebut turut sama berada di situ. Kalau pun tidak sama-sama bekerja, ketua boleh membawakan makanan atau minuman ringan untuk mereka. Paling tidak sekiranya ketua tidak dapat hadir, dia perlu menelefon staf bagi mengetahui perkembangan kerja. Staf akan berasa lebih dihargai dan lebih mudah memberikan kerjasama.

Setakat ini dulu perkongsian saya tentang tip komunikasi dengan staf.

Saturday, January 24, 2015

Dwi Imej

Entri 2
Teks:  Rahiza Haszian binti Abdul Rahim
Gambar:  Koleksi peribadi


Assalamualaikum,

Hari ini saya ingin berkongsi sedikit tentang perniagaan SoHo yang telah saya jalankan sebelum ini.

Seperti yang saya telah jelaskan di dalam entri sebelum ini, perniagaan tersebut telah saya warisi daripada allahyarham ayah saya yang telah pergi secara tiba-tiba pada tahun 2004.  Nama syarikat tersebut ialah Dwi Imej, dan telah beroperasi sepenuhnya di rumah saya di Johor Bahru.  Operasi utama syarikat itu ialah reka bentuk grafik dan susun atur huruf untuk produk berasaskan kertas seperti buku, brosur, buletin, laporan tahunan dan sebagainya.  Namun, saya menyediakan perkhidmatan daripada peringkat draf sehinggalah produk siap dicetak.  Ini bermaksud saya perlu berurusan dengan kedua-dua pelanggan dan juga pembekal /pencetak.

Ketika itu, saya merupakan antara perintis konsep SoHo di Malaysia.  Berikut adalah antara kelebihan SoHo mengikut pengalaman saya:

1. Penjimatan kos operasi
-  Tidak perlu membayar sewa kedai, kos elektrik dan air. Kita juga tidak perlu mengisi lebih minyak untuk kenderaan berulang-alik ke pejabat. Saya hanya keluar apabila mempunyai temujanji dengan pelanggan atau pembekal.  Selalunya saya akan menyusun masa temujanji supaya saya boleh melakukan beberapa urusan pada hari yang sama. Kita juga tidak perlu mencetak Sebutharga/Invois/Pesanan Penghantaran dalam kuantiti yang banyak kerana semua dokumen tersebut hanya dicetak apabila diperlukan

2. Pengurusan masa yang fleksibel
-  Tidak terikat dengan waktu pejabat. Walaupun idea datang ketika tengah malam, saya hanya perlu pergi ke ruang kerja, hidupkan komputer dan terus mereka bentuk. Kita adalah ketua pada diri kita sendiri.  Kita tidak perlu melapor kepada sesiapa.  Jadi, kita boleh memilih dan menetapkan masa untuk melakukan pelbagai aktiviti seperti aktiviti perniagaan, menguruskan rumah tangga, menguruskan hal ehwal anak sekolah dan macam-macam lagi.  Yang penting, kita perlu menetapkan masa sasaran untuk menyiapkan sesuatu tugasan dan harus mempunyai disiplin diri yang tinggi.

3.  Hubungan kekeluargaan yang lebih akrab
-  Apabila bekerja di pejabat, kita akan meluang masa antara 8 hingga 10 jam waktu bekerja.  Rutin harian akan dimulai dengan menghantar anak di nurseri atau sekolah seawal pukul 7 pagi dan mengambil mereka semula pada pukul 6 petang.  Mereka yang berkemampuan mungkin akan mengambil pembantu rumah. Ini  bermaksud anak-anak akan meluangkan lebih masa dengan orang asing daripada ibu bapa sendiri. Sekiranya bekerja dari rumah, hal ehwal anak-anak boleh dilakukan sendiri tanpa perlu di sub-kontrak kepada pakcik van sekolah/pembantu taska/pembantu rumah.  Lebih banyak interaksi akan berlaku dan hubungan dengan anak juga akan jadi lebih akrab.  Ini adalah sangat penting bagi menjamin tumbesaran dan perkembangan anak yang lebih sihat daripada segi fizikal dan mental.

Dalam setiap situasi, pasti ada kebaikan dan keburukan.  Begitu juga dengan konsep SoHo.  Antara keburukannya ialah:

1.  Hilang fokus dan keutamaan (priority)
- Sebagai seorang suri rumah, selalunya fikiran akan dikuasai oleh kerja-kerja rumah yang tidak akan pernah selesai.  Ini akan mempengaruhi tumpuan yang diberikan kepada perniagaan.  Justeru, seperti yang dikatakan sebelum ini, pengurusan masa dan disiplin diri adalah sangat penting.

2.  Tiada suasana kerja di pejabat
- Sebagai seorang WAHM di SoHo, kita tidak akan dikelilingi oleh rakan-rakan secara fizikal. Yang ada hanya jerit tangisan atau ketawa gembira si anak, ataupun suara dari siaran TV dan radio.  Kita tidak akan ada rakan sekerja untuk berborak atau bertukar-tukar fikiran perihal kerja.  Bagi sesetengah individu, ini akhirnya akan mempengaruhi mood dan motivasi untuk bekerja.

Ketika bekerja di UTMSPACE, saya telah membiarkan lesen perniagaan saya luput begitu sahaja.  Namun pada awal bulan ini, saya telah menghidupkan kembali lesen Dwi Imej.  Saya merancang untuk memulakan semula operasi secara kecil-kecilan.  Mungkin tidak dapat melakukan serancak sebelum ini kerana terikat dengan jadual sekolah anak-anak.  (Sebelum ini mereka masih belum bersekolah, jadi saya tidak perlu sangat keluar-masuk menguruskan mereka).  Jadi, saya perlu mencari dan mempelajari perniagaan lain yang boleh dijalankan hampir sepenuhnya dari rumah.  Di sinilah titik permulaan saya berkenalan dengan ABDR dan pengasasnya Puan Masayu dan cikgu saya, Puan Anys Idayu Zakaria.

Friday, January 16, 2015

Pengenalan Diri

Entri 1
Teks:  Rahiza Haszian Abdul Rahim

Assalamualaikum  warahmatullahi wabarakatuh.

Apa khabar? Selamat berkenalan.  Nama saya Rahiza Haszian binti Abdul Rahim.  Ya, saya tahu. Nama itu memang agak panjang.  Menurut aruah ayah dan ibu saya, nama tersebut adalah gabungan daripada nama-nama mereka iaitu Rahiza daripada 'Rahim' dan Haszian daripada 'Hasmah'.  Pada tahun 2015 ini, genap empat puluh (40) tahun saya diberikan peluang untuk menghela nafas di bumi Allah ini. Alhamdulillah, syukur di atas segala limpahan nikmat yang dikurniakan olehNya. 

Saya telah dilahirkan di Kampung Melayu, Kluang, Johor.  Berketurunan Jawa daripada sebelah ayah dan Minangkabau daripada  sebelah ibu, saya merupakan anak bongsu daripada dua (2) orang adik beradik. Satu-satunya abang yang saya ada di dunia ini berusia lebih tua sembilan (9) tahun daripada saya. Kedua-dua ayah dan ibu adalah merupakan bekas guru.

Saya telah menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Tunku Mahmood (2), Kluang, Johor. Seterusnya pendidikan menengah telah diteruskan di Sekolah Menengah (P) Temenggong Ibrahim, Batu Pahat, Johor dan Sekolah Menengah (P) Sultan Ibrahim, Johor Bahru, Johor.   Tamat persekolahan, saya telah melanjutkan  pelajaran di Universiti Teknologi Malaysia dalam jurusan Integrasi Sains Komputer.  Setelah tiga (3) tahun, saya telah dianugerahkan Diploma Sains Komputer dan seterusnya diserapkan ke program Sarjana Muda Sains Komputer dalam pengkhususan Sistem Maklumat Pengurusan. Saya akhirnya berjaya menggengam segulung ijazah pada penghujung tahun 1999.

Pada tahun 2000, bermulalah episod baru dalam hidup saya.  Saya telah memulakan kerjaya saya di Malaysia Matsushita Electronics Corporation (MMEC), Shah Alam sebagai Jurutera Sistem.  Pada tahun yang sama juga, saya telah dijabkabulkan dengan seorang jejaka, anak jati Darul Naim yang telah berjaya mencuri hati saya.  Setelah setahun di MMEC, saya ditawarkan pula oleh Arab Malaysian Merchant Bank (AMMB) sebagai seorang Pengaturcara Analisis.  Namun, pada tahun 2002, suami telah mendapat tawaran pekerjaan di Johor Bahru.  Setelah berbincang, kami mengambil keputusan untuk menerima tawaran tersebut.  Maka, seperti sirih pulang ke gagang, saya telah kembali ke negeri kelahiran saya.   Alhamdulillah, pada tahun itu juga, saya hamil anak pertama.  

Oleh kerana kehamilan tersebut, saya telah menangguhkan hasrat untuk mencari pekerjaan baru.  Ayah mencadangkan agar saya membantunya untuk membuat kerja-kerja reka bentuk grafik dari rumah sahaja.  Kebetulan, ayah memang memiliki sebuah syarikat penerbitan secara kecil-kecilan.  Walaupun saya langsung tidak mempunyai pengalaman dan kemahiran dalam bidang grafik, kerana pengkhususan saya ialah dalam pembinaan sistem maklumat, namun tawaran ayah itu saya terima.  Akhirnya saya sendiri rasa seronok bekerja dari rumah dan sedikit demi sedikit, saya semakin mahir mengendalikan urusan reka bentuk dan perisian grafik. Hasrat untuk mencari pekerjaan yang bersesuaian setelah melahirkan akhirnya hilang begitu sahaja.

Pada tahun 2004, kami sekeluarga telah dikejutkan dengan pemergian ayah secara tiba-tiba.  Secara serta-merta, urusan syarikat terletak di bahu saya kerana abang sudah ada perniagaannya sendiri dan tidak berkesempatan untuk mengambil alih syarikat ayah.  Perkara pertama yang saya lakukan ialah dengan melihat semula operasi dan status kewangan syarikat.  Saya telah mengambil keputusan untuk menghentikan staf dan operasi di kedai.  Saya tidak yakin akan mampu menggaji staf kerana langsung tidak berpengalaman.  Saya tidak mahu mengambil risiko kerana beberapa orang di antara mereka ialah staf lelaki yang perlu menyara keluarga masing-masing.  Dengan berat hati, saya meminta mereka untuk mencuba rezeki di tempat lain.  Alhamdulillah, mereka memahami permintaan saya.

Secara berdikit-dikit saya meneruskan usaha ayah dari rumah secara berseorangan.  Segala-galanya saya lakukan sendiri.  Daripada keluar bertemu pelanggan, kerja-kerja reka bentuk, berurusan dengan pencetak, sehinggalah penghantaran produk yang telah siap. Pelbagai selok belok perniagaan saya redahi. Bermacam pengalaman diperolehi dan pelbagai kemahiran turut dipelajari.  Ketika itu, konsep SoHo adalah sangat baru.  Tidak ramai yang mengetahui ataupun menyokong cara pekerjaan sebegitu.  Berkat sokongan suami, saya berjaya menguruskan perniagaan dengan baik sehingga beberapa kali terlibat dengan penghasilan buku bertaraf kebangsaan hasil kerjasama dengan beberapa agensi kerajaan.  Dalam pada itu, saya juga perlu membahagikan perhatian kepada suami, anak-anak dan terutamanya ibu saya yang telah mengalami tekanan perasaan dan kemurungan yang sangat hebat apabila ayah pergi secara tiba-tiba.

Pada tahun 2008, saya dan anak-anak telah mengikut suami ke Amerika Syarikat atas urusan pekerjaan.  Kami berada di sana selama hampir setengah tahun.  Sekembalinya kami, saya telah berurusan kembali dengan jabatan kerajaan untuk menuntut pembayaran kerja.  Alangkah kecewanya saya, setelah setengah tahun berlalu pembayaran masih belum boleh dibuat.  Sebenarnya inilah masalah utama yang saya hadapi apabila berurusan dengan agensi kerajaan.  Apabila kerja sedang dilakukan, mereka meminta kita untuk segera menyiapkan kerja.  Walaupun tanpa menerima L.O, kerja tetap diteruskan mengenangkan hubungan baik perniagaan yang telah lama terjalin.  Tetapi apabila meminta pembayaran, pelbagai alasan akan diberikan.

Awal tahun 2009, seorang yang rapat hubungan kekeluargaannya dengan saya telah menawarkan saya peluang pekerjaan.  Dek kerana rasa kecewa dan penat dengan urusan perniagaan, saya mengambil keputusan untuk menerima tawaran tersebut.  Lalu bermula sebuah lagi episod baru dalam hidup saya, iaitu menjawat jawatan Pegawai di Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan, Universiti Teknologi Malaysia (UTMSPACE).  Pada tahun itu juga anak sulung saya telah memulakan persekolahannya di Darjah Satu manakala anak yang kedua baru berusia tiga (3) tahun.

Saya telah dinaikan pangkat beberapa kali. Akhirnya pada penghujung tahun 2014, tepat 5 tahun 7 bulan, saya telah meletakkan jawatan akhir saya sebagai Pengurus di Unit Penyelidikan, Penerbitan dan Perhubungan Pelanggan.  Ramai yang bertanya saya, tidakkah merasa rugi atau terkilan meletakkan jawatan tersebut? Jawapan saya, tidak sama sekali. Mari saya ceritakan kenapa.

Tahun 2014 merupakan tahun yang sangat beerti buat saya. Pelbagai peristiwa yang tidak disangka telah berlaku.  Dugaan yang sangat hebat saya terima apabila anak sulung yang hendak mengambil UPSR pada tahun itu tiba-tiba berubah laku.  Daripada seorang anak yang periang dan ceria, tiba-tiba dia menjadi pemarah dan pendendam.  Puas saya memikirkan dan menyiasat sebabnya.  Akhirnya saya perlu mengakui, puncanya banyak datangnya daripada saya.  Dek kerana terlalu sibuk dan stres bekerja, saya secara tidak sengaja sering melepaskan kemarahan saya kepada dia. Saya terlupa yang dia kini bukan lagi anak-anak kecil.  Dia sudah ada pemikiran dan kemahuannya yang tersendiri.  Tambahan pula keluarga kami masih tinggal dengan ibu yang sangat terkenal dengan sikap tegas dan disiplinnya, dan saya pula seringkali bekerja luar, lalu terjadi konflik dalaman pada diri anak saya.  Alhamdulillah, saya bersyukur di atas teguran yang Allah berikan ini.  Walaupun sukar, tanpa jemu saya memohon dan sujud kepada Allah untuk membantu saya memikat kembali sang anak.  Syukur ke hadrat Allah, saya belajar untuk meletakkan keutamaan kepada perasaan anak-anak dan suami lebih daripada segala-galanya.  Akhirnya sang anak menyatakan hasrat agar saya sendiri yang menguruskan segala keperluannya dan si adik.  Mereka rindukan kehadiran Ummi yang sentiasa di sisi mereka.  Permintaan anak meluluhkan hati saya.  Terasa betapa berdosa dan culasnya saya selama ini.  Mana mungkin saya menolak permintaan mereka sedangkan mereka dan suami adalah segala-galanya bagi saya.

Tanpa berfikir panjang, saya telah menulis surat perletakan jawatan.  Setelah sebulan notis, saya kembali menjadi suri rumah tangga sepenuh masa.  Memang benar, walaupun sibuk dan penat tidak terkata, saya merasa sangat puas kerana dapat meluangkan lebih banyak masa dengan anak-anak.  Saat yang paling saya nantikan ialah apabila berada di dalam kereta menghantar dan mengambil mereka di sekolah. Mendengar celoteh mereka yang tidak henti-henti sangat membahagiakan saya.  Alhamdulillah..syukur Ya Allah.

Di waktu senggang, saya amat gemar membaca.  Memang itulah hobi utama saya sedari kecil.  Kebanyakan bacaan saya ialah novel Bahasa Inggeris. Genre pilihan saya ialah jenayah benar (true-crime). Penulis yang sangat saya minati ialah Ann Rule sehingga pada permulaan saya menyertai Facebook, saya telah mewujudkan 'Ann Rule Fan Club' dan sehingga kini mempunyai lebih daripada 4000 ahli dari serata dunia.  Melalui FB juga saya telah dapat berinteraksi secara langsung dengan penulis yang telah saya minati semenjak saya di Tingkatan 5 itu.  Semenjak tahun 2013 pula, saya mula membaca karya penulis Ramlee Awang Murshid.  Beliau ialah satu-satunya penulis tempatan yang saya minati.  Cara penulisannya yang kreatif dan bersahaja adalah sangat menarik. 

Oleh kerana minat membaca, secara tidak langsung saya turut minat menulis. Sedari sekolah, rencana tulisan saya telah disiarkan di majalah sekolah. Perniagaan saya sebagai pereka bentuk grafik dan penyusun atur huruf juga menyebabkan saya terlibat secara langsung sebagai penyunting.  Walaupun itu tidak termasuk dalam skop perniagaan, tetapi saya merasa puas sekiranya buku yang saya hasilkan bebas daripada kesalahan ejaan dan bahasa.  Ketika berada di UTMSPACE pula, bidang penulisan dan suntingan adalah memang di bawah tanggungjawab saya di mana saya perlu menulis dan memantau artikel serta bahan bacaan lain yang melibatkan organisasi untuk siaran di akhbar dan majalah.

Berbalik kepada cerita kerjaya, selama sebulan notis berhenti, saya telah mencari-cari alternatif ataupun sumber untuk bekerja dari rumah.  Walaupun pernah melakukannya sebelum ini, tetapi setelah hampir enam (6) tahun makan gaji, saya jadi agak goyah dan kurang yakin.  Dengan kuasa Allah, saya tidak tahu bagaimana dan bila, tiba-tiba seorang bernama Masayu Ahmad telah 'Add Friend' saya di FB. Saya pun tidak pasti bagaimana beliau menemui profil saya memandangkan profil saya adalah bersifat 'private'.  Melalui FBnya saya mendapat tahu tentang Akademi Bekerja Di Rumah.  Sedikit demi sedikit, saya mengumpul maklumat tentang ABDR.  Saya juga telah terserempak dengan profil Anys Idayu Zakaria di FB Masayu.  Saya memberanikan diri untuk menyapa Anys dan bertanyakan tentang ABDR.  Lama juga masa yang saya ambil untuk menimbang tara sebelum menyertai ABDR.  Bukannya apa, saya khuatir sekiranya tidak dapat memberikan komitmen.  Setelah faham tentang konsep ABDR dan atas keizinan dan sokongan suami, saya telah menyertai keluarga besar ABDR di bawah cikgu Anys. 

Matlamat saya menyertai ABDR ini adalah mudah.  Saya memerlukan sokongan dan tunjuk ajar bagaimana untuk meraih pendapatan secara online.  Sebagaimana wanita lain, saya juga perlu memenuhi beberapa komitmen kewangan.  Oleh kerana keutamaan saya ketika ini ialah anak-anak, sukar untuk saya menjalankan perniagaan seperti dahulu.  Masa saya yang sentiasa dipenuhi dengan aktiviti bersama mereka tidak memungkinkan saya untuk aktif dengan syarikat seperti dahulu.  Saya perlu mencari alternatif lain di mana saya boleh menjana pendapatan walaupun saya tidak keluar untuk bertemu pelanggan.  Dengan jaringan luas dan bilangan ahli yang ramai, saya kira ABDR adalah pilihan yang amat tepat. Saya sangat berharap untuk dapat memperolehi pengetahuan dan perkongsian pengalaman melalui ABDR.

Rasanya coretan pertama saya ini agak panjang.  Saya berterima kasih kepada Puan Masayu Ahmad dan Puan Anys Idayu Zakaria atas perkongsian pengetahuan yang sangat bermanfaat.  Saya berharap akan terus melangkah ke hadapan.  Yang paling utama, saya berharap dengan keputusan saya untuk berhenti bekerja di pejabat dan meluangkan lebih masa dengan anak-anak akan dapat membentuk mereka menjadi hamba Allah yang taat dan berperibadi tinggi.  Saya tidak boleh mengubah perkara yang telah berlaku, namun saya berharap masih belum terlambat untuk saya mencipta kenangan dan 'moment' indah bersama anak-anak dan keluarga. Insya Allah...